Tenaga Nasional Berhad (TNB) membuat persiapan awal di kesemua tiga empangan janakuasa hidroelektrik miliknya bagi menghadapi musim tengkujuh tahun ini.-Foto TNB.

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Bhd (TNB) telah mempersiapkan semua empangan skim hidroelektriknya di Cameron Highlands, Sungai Perak dan Tasik Kenyir bagi menghadapi impak Monsun Timur Laut termasuk kemampuan menakung kapasiti air yang dijangka meningkat pada musim tengkujuh.

Pemeriksaan berkala secara bulanan dan audit integriti setiap enam bulan adalah antara langkah yang diambil melebihi garis panduan Malaysia Dam Safety Management Guidelines (MyDAMS) demi keselamatan empangan untuk memastikan keutuhan struktur.

Pengarah Urusan TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco), Ir Muhamad Nazri Pazil berkata, langkah berkenaan memastikan empangan dapat berfungsi dengan baik bukan sahaja sebagai penjana tenaga hidro tetapi juga membantu usaha penebatan banjir.

“Penyelenggaraan empangan secara berhemat dan menyeluruh ini mendukung prinsip utama melindungi nyawa, harta benda, dan persekitaran,” katanya merujuk kepada pengumuman Jabatan Meteorologi Malaysia yang meramalkan hujan lebat di Pantai Timur Semenanjung dengan kebanyakan negeri menerima purata hujan antara 100mm hingga 900mm pada hujung tahun.

TNB Genco adalah anak syarikat milik penuh TNB yang bertanggungjawab terhadap pengurusan aset-aset penjanaan elektrik milik TNB, termasuk skim empangan hidroelektriknya. Ia bertanggungjawab mengenal pasti sebarang potensi risiko dengan melaksanakan pengawasan, pemantauan prestasi dan pemeriksaan khas empangan.

“Selain menjana elektrik, empangan hidroelektrik milik TNB turut berfungsi sebagai tebatan banjir. Dengan kapasiti menakung air di hulu sungai, empangan-empangan kami dapat mengelakkan bencana lebih besar daripada berlaku di kawasan hilir setiap kali musim tengkujuh tiba,” katanya.

Paras air tasik telah diturunkan secara terancang ke paras minimum melalui pelepasan terkawal mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) sebelum bermulanya musim tengkujuh dengan mengambil kira keperluan operasi supaya keupayaan penjanaan elektrik masih boleh dilakukan.

Mengulas mengenai operasi Stesen Janakuasa Sultan Mahmud (SJSM) Kenyir, Terengganu yang dilanda banjir besar pada awal tahun lalu, Nazri menjelaskan, kerja-kerja pemulihan berjalan lancar bagi mengurangkan risiko tanah runtuh dan struktur Empangan Kenyir didapati kekal kukuh dan selamat oleh Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) melalui pasukan penilaian Flying Squad dalam laporan bertarikh Ogos 2022.

Selain itu, katanya, Penilaian Keselamatan Empangan (Dam Safety Review) oleh pakar empangan bebas dilaksanakan setiap lima tahun yang selaras dengan garis panduan antarabangsa International Commission on Large Dam (ICOLD) yang mana pakar- pakar empangan dilantik untuk memeriksa dan menilai keadaan integriti empangan dan struktur yang berkaitan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast