KUALA LUMPUR – Restoran Me’nate Steak Hub mengumumkan dana sebanyak RM300,000 akan disumbangkan kepada penduduk Palestin melalui kempen Dine And Donate yang dianjurkan sejak 6 sehingga 20 November lalu.
Pengarah Urusan Palace Butcher Resources Sdn Bhd, Syed Ashraf Syed Ali yang juga pemilik Me’nate Steak Hub merakamkan ucapan terima kasih kepada pelanggan mereka yang turut serta dalam kempen ini.
Beliau yang bersyukur dengan sambutan yang diterima berharap kempen itu menjadi permulaan yang baik buat rangkaian restoren tu untuk menganjurkan lebih banyak kempen sama pada masa akan datang.
“Dana ini tidak akan berjaya tanpa sokongan padu pelanggan setia Me’nate Steak Hub dan kejayaan ini juga memberi sebab untuk pihaknya terus memberikan perkhidmatan yang terbaik buat pelanggan mereka.
“Bila ada yang mempersoalkan tempoh yang singkat untuk kempen ini mengumpul dana sebanyak RM300,000, pada waktu itu kami yakin ia mampu dijalankan. Bagi saya pelanggan Me’nate Steak Hub cukup cakna dengan apa yang berlaku di Palestin kini.
“Sama seperti kami, saya yakin ini juga peluang mereka untuk sama-sama membantu saudara kita di sana. Merupakan kali pertama kempen seumpana ini diadakan di Me’nate Steak Hub, saya fikir dengan sambutan yang diberikan ini memberi kami lebih sebab untuk mengadakan kempen-kempen kemanusian seperti ini lebih kerap pada masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan.
Melihat kerjasama yang dijalankan dengan Pertubuhan Kebajikan Rakyat Sejagat Malaysia (SEJAGAT) dan Tabung Kemanusian Palestin Media Prima sebagai satu langkah tepat, jelas Syed Ashraf lagi selain memberi fokus dalam menyampaikan bantuan kepada mangsa kekejaman Israel.
“Kerjasama yang dijalinkan kami bersama SEJAGAT dan Media Prima dilihat memenuhi kriteria yang diperlukan dalam menyampaikan dana ini dengan selamat dan tepat.
“Saya juga tidak mahu melepaskan peluang mengucapkan ribuan terima kasih kepada mereka atas persetujuan untuk menyampaikan bantuan ini mewakili pihak Me’nate Steak Hub.
“Dengan apa yang dilalui penduduk Palestin hari ini pastinya kami mahu melihat sumbangan ini kelak mampu memberi mangsa-mangsa ini bantuan yang diperlukan terutamanya makanan dan bantuan perubatan yang semakin kritikal di sana,”jelasnya.
Sementara itu sebagai antara jenama yang cukup kukuh dalam bidang perkhidmatan makanan dan minuman, Syed Ashraf memberitahu, Me’nate Steak Hub juga akan kekal sensitif dengan isu-isu seumpama ini dalam memastikan rangkaian perniagaan dibawah kendaliannya ini lebih dekat dengan masyarakat. – MalaysiaGazette