Datuk Sivarraajh Chandran mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara (Senator) untuk sepenggal hari ini.

KUALA LUMPUR – Ahli Senator Dewan Negara menggesa agar kerajaan menaikkan peratusan pengambilan pelajar India di peringkat Program Matrikulasi.

Senator Datuk Sivaraj Chandran berkata, gesaan kepada Kementerian Pendidikan (KPM) perlu kerana dapat menggalakkan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) khususnya masyarakat India untuk melanjutkan pelajaran.

“Saya fikir sudah tiba masanya untuk kerajaan, selaras dengan komitmen Perdana Menteri untuk bantu memperkasa proses pembangunan sosio-ekonomi masyarakat India untuk meningkatkan nisbah ini sekurang-kurangnya kepada kadar 5 peratus setiap tahun.

“Perkara ini penting supaya kita bukan sahaja dapat mengelakkan pelajar-pelajar lepasan SPM dari masyarakat India yang layak dari tercicir akibat kekurangan peluang, namun pada masa yang sama menyediakan satu mekanisme yang baik melalui pendidikan untuk memperkasa taraf sosio-ekonomi Masyarakat India secara umumnya,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2024 di peringkat Dewan Negara, hari ini.

Sivaraj berkata, peratusan pengambilan pelajar daripada masyarakat India sebelum ini ditetapkan pada paras 3.72 peratus iaitu sebnayak 1,116 penempatan untuk tahun 2023.

Dalam pada itu, Sivaraj menyambut baik langkah kerajaan untuk tidak menyekat pelajar-pelajar yang tidak mampu untuk membayar yuran pengajian daripada mendaftar subjek pada setiap semester.

Beliau berharap dasar itu terus diperluaskan kepada institusi pengajian tinggi swasta melalui kerjasama strategik antara pihak kementerian pengajian tinggi dan penyedia khidmat latihan pengajian tinggi swasta.

“Saya percaya ramai pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi swasta, terutamanya dari latar belakang B40 yang terpaksa berdepan dengan masalah kewangan akibat kos pengajian yang tinggi,” katanya. – MalaysiaGazette