Tun Dr. Mahathir Mohamad.- Foto MUHD NA’IM, 06 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – Sokongan terhadap UMNO akan terus merosot sekiranya parti itu meneruskan kerjasama dengan DAP.

Bekas Presiden UMNO Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa, keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman yang menyaksikan calon parti itu tewas kerana bersekongkol dengan DAP.

“Kemaman menunjukkan sokongan kepada UMNO merosot lagi. Selagi UMNO bersekongkol dengan DAP sokongan kepada UMNO akan terus merosot.

“Semua sedar UMNO bukan lagi berjuang untuk bangsa, negara dan agama. Perjuangan UMNO ialah untuk duit, untuk selamatkan kepimpinan yang bersekongkol dengan jenayah,” kata Mahathir.

Dalam kenyataan yang dikongsi di media sosial, bekas perdana menteri itu turut meramalkan jika UMNO terus bersama DAP parti itu akan lenyap pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.

UMNO katanya, perlu kembali dengan matlamat asal iaitu berkaitan dengan Melayu, Islam dan negara.

Mahathir berkata, keputusan PRK Kemaman jelas memaparkan mesej bahawa pemimpin yang mewarisi UMNO bakal memusnahkan parti itu.

“Dalam PRU 16, UMNO akan hapus sama sekali. Yang boleh selamat UMNO ialah pemisahan dari DAP dan kembali perjuangan untuk bangsa, negara dan agama. Pemimpin yang usang perlu digugurkan.

“Dan masalah Melayu perlu diperjuangkan semula. Khusus berkenaan kemiskinan orang Melayu.

“Saya sedih kerana bapa yang menyelamat UMNO pada satu masa dahulu, anak yang musnahkan UMNO setelah mengambil alih kepimpinan. Suka atau tidak suka inilah kenyataan. Inilah mesej Kemaman,” kata Mahathir.

Calon UMNO,Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor mendapat 27,778 undi dalam PRK Parlimen Kemaman yang berlangsung pada Sabtu lalu.

Bekas Panglima Angkatan Tentera itu tewas dengan pesaing dari Pas iaitu Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mendapat 64,998 undi.

Majoriti yang diperoleh calon Pas melebihi 10,041 undi berbanding penyandang sebelum ini, Che Alias Hamid yang memperoleh majoriti sebanyak 27,179 undi. -MalaysiaGazette

3 Komen

  1. Betul, umno akan pupus kerana sudah tidak relevan dgn melayu lagi hanya jadi alat parti lain.

  2. Betul, umno akan pupus kerana sudah tidak relevan dgn melayu lagi hanya jadi alat parti lain.

  3. rasanya Bersatu yg akan pupus kerana seorang demi seorang MP nya sokong PMX….dah 5 org, dengarnya ada beberapa lg.

Comments are closed.