KUALA LUMPUR – Langkah pemberian kredit e-dompet, eMADANI sebanyak RM100 kepada 10 juta rakyat yang layak, dijangka tidak akan menyumbang kepada peningkatan kadar inflasi di negara ini.

Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ini berikutan jumlah keseluruhan RM1 bilion yang diperuntukan bagi program berkenaan adalah jauh lebih sedikit berbanding angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ketika ini.

Malah, jelasnya, pemberian eMADANI tidak menyebabkan inflasi kerana di pasaran wang, jumlah RM1 bilion ini akan menjadi RM3 bilion berikutan kesan pengganda.

“Oleh itu, RM3 bilion ini ia tidak akan menjejaskan RM1.8 trilion jumlah ekonomi negara atau KDNK. Bank Negara Malaysia (BNM) juga menganggapnya tidak menaikkan kadar inflasi,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau hadir sebagai tetamu pada program bual bicara Apa Khabar Malaysia : Setahun Bersama Kerajaan MADANI yang disiarkan secara langsung menerusi saluran Bernama TV.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bantuan kredit e-MADANI yang dilaksanakan secara sekali bayar itu dibuka bagi pendaftaran dan tuntutan mulai 4 Disember 2023 hingga 20 Februari 2024.

Inisiatif daripada Kementerian Kewangan (MoF) itu bertujuan menggalakkan ekonomi digital dan memupuk budaya pembayaran tanpa tunai yang memberi manfaat kepada 10 juta rakyat dewasa yang layak dengan peruntukan RM1 bilion.

Dalam pada itu, mengulas keluhan mengenai kesukaran menebus kredit eMADANI, Ahmad menasihatkan mereka yang layak menerima bantuan itu agar tidak terburu-buru memandangkan tempoh penebusan yang masih panjang sehingga 20 Feb, 2024.

“Tidak perlu terburu-buru kerana kita ada banyak masa serta empat platform untuk menebus eMADANI,” katanya. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast