Tan Sri Razarudin Husain

KUALA LUMPUR – Pertimbangan sama ada polis akan mengambilan tindakan ke atas bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff bergantung untuk mendapatkan bukti dalam siasatan yang dilakukan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan masih dijalankan selepas maklumat dan pendedahan baharu diberikan pembantu pegawai J-KOM, Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani kepada pegawai penyiasat dalam siasatan kes dakwaan gangguan seksual di hotel di Bintulu, Sarawak pada Oktober lalu.

“Keputusan sama ada tangkapan akan dibuat terhadap Datuk Dr. Agus ataupun tidak hanya bergantung kepada siasatan penuh dan fakta baru yang diperoleh polis,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana kesalahan melakukan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatandan dan Seksyen 377D Kanun Keseksaan iaitu melakukan kelucahan melampau di tempat awam.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata, polis akan memanggil individu yang difikirkan boleh membantu siasatan dengan hala tuju siasatan adalah untuk mencari kebenaran dan keadilan bagi kedua-dua pihak.

Mengulas mengenai perkembangan siasatan rakaman video perbualan lucah membabitkan Mohammad Agus dan Abdul Wahab yang tular di media sosial 16 Oktober lalu, Razatudin berkata, kertas siasatan telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara pada Jumaat lalu tetapi dirujuk semula selepas polis menemui beberapa petunjuk baharu.

“Kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian, perkhidmatan rangkaian.

“Kertas siasatan (perbualan video lucah) akan dirujuk semula hanya selepas siasatan berkenaan kejadian gangguan seksual yang diterima (Abdul) Wahab dari (Mohammad) Agus di Bintulu lengkap.

Tambah beliau, bentuk tindakan yang bakal diambil akan berdasarkan laporan teknikal daripada agensi lain termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia  Malaysia (SKMM) dan syarikat telekomunikasi.

Menurut Razarudin, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian, perkhidmatan rangkaian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast