Tuan Ibrahim Tuan Man

KUANTAN –  “Kita dalam Perikatan Nasional (PN), apa-apa yang kita putuskan, kita putus bersama”.

Demikian kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man ketika diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Ia ekoran Takiyuddin yang mengatakan Pas sudah bersedia memikul tugas lebih besar apabila kedudukan parti itu lebih dominan ke arah Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) kelak.

Tuan Ibrahim menegaskan, isu tentang siapa yang patut mengetuai Perikatan Nasional (PN) tidak perlu ditimbulkan berikutan gabungan parti itu sentiasa berpakat dalam membuat sesuatu keputusan.

”Walaupun dominasi pilihan raya dulu pun Pas lebih besar daripada Bersatu, tapi kita pakat. Paling penting siapa terajui kita setujui, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempengerusikan PN dan yang ini disetujui oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka itu berkata demikian ketika ditemui selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang hari ini.

Tuan Ibrahim memberitahu, biar pun Pas mendominasi dalam Keputusan Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15), Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) termasuk Pilihan Raya Kecil (PRK) baru-baru ini, pihaknya tetap memegang dasar keputusan bersama.

”Bahkan waktu kami ada 18 undi kerusi Parlimen, sepatutnya dapat menteri kanan, bagi kita tidak mengapa yang penting kestabilan, yang penting kita buat bersama rakyat.

“Bagi saya, apa yang berlaku, kita putus bersama dalam PN. Tiada isu siapa lead,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast