Mohd Na'im Mokhtar

KUALA LUMPUR – Ketiadaan timbalan menteri bukan penghalang untuk  Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menjalankan tugasnya.

Jelas Mohd Na’im, melantik timbalannya merupakan kuasa  Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sehubungan itu, sama ada mempunyai pembantu atau sebaliknya,  beliau sentiasa bersedia melaksanakan tanggungjawab yang diberikan kepadanya.

Apatah lagi, beliau mendapat kerjasama penuh daripada kakitangan kementerian tersebut dan perkara itu memudahkan urusannya setiap hari.

“Saya jenis kalau itu ditetapkan perdana menteri, saya laksana kerja tanpa sebarang aduan, itu amanah.

“Setakat ini Allah bantu saya, berkat sokongan semua warga kerja agensi dan rakyat keseluruhannya termasuk perdana menteri dan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong memudahkan untuk saya jalankan amanat sebaiknya. Setakat ini saya boleh laksanakan,” ujarnya.

Mohd Na’im merupakan menteri penuh bagi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) tanpa timbalan.

Kini genap setahun beliau mengurus hal ehwal agama Islam negara di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan. – MalaysiaGazette