PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak senada dengan pendapat Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mengatakan parti itu masih jauh untuk berjaya dalam mengembalikan semula kepercayaan orang Melayu terhadap UMNO itu.
Perdana Menteri sebaliknya berkata, kekalahan UMNO yang mewakili Barisan Nasional (BN) turut menyaksikan jumlah undi yang susut diperolehi calon Pas, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu juga berpuas hati dengan maklum balas diterima pada mesyuarat antara kepemimpinan PH dengan UMNO, semalam.
“Tidak juga dan kalau tengok peratus undi ada sedikit susutan dari Pas tapi nampak UMNO (pengundi) belum keluar dan patut kita beri penjelasan.
“Semalam, kita ada mesyuarat antara Pakatan Harapan dan pemimpin UMNO. Dan saya puas hati dan mereka akan gerak jentera ke akar umbi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2023 di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Sabtu lalu, Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu menewaskan pencabarnya dari Barisan Nasional (BN), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor menerusi pertembungan satu lawan satu.
Calon PN itu memperoleh 64,998 undi, manakala Raja Mohamed Affandi yang merupakan bekas panglima Angkatan Tentera Malaysia mewakili UMNO mendapat 27,778 undi. – MalaysiaGazette