Sesi penyerahan Surat Lantikan Ahli MPEN di Wisma Sri Pahang, Kuantan Gambar : Facebook Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Bekas Pengerusi CIMB Berhad (CIMB), Tan Sri Mohamed Nazir Abdul Razak dilantik sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Ekonomi Negeri Pahang (MPEN) berkuat kuasa 1 Disember lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penubuhan MPEN yang turut dianggotai sembilan lagi ahli itu bertujuan memacu ekonomi negeri dengan lebih baik bagi tempoh dua tahun.

“Majlis Penasihat ini dianggotai dua orang anggota Exco kerajaan negeri, dua orang Pegawai Kanan Negeri bersama lima ahli. Disamping itu, Universiti Malaysia Pahang Al-sultan Abdullah (UMPSA) dilantik sebagai Sekretariat MPEN,” katanya dalam kenyataan di laman Facebooknya petang ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, MPEN ditubuhkan agar kerajaan negeri dapat menggabungkan pengalaman dan kepakaran ahli-ahlinya dengan sektor swasta.

Ia bagi membantu mempercepat ke arah ekonomi negeri yang mampan, dengan fungsinya untuk merancang dan menggubal Pelan Induk Ekonomi Negeri Pahang untuk tempoh lima tahun lagi.

Wan Rosdy Wan Ismail (kiri) menyerahkan Surat Lantikan Ahli MPEN di Wisma Sri Pahang, Kuantan kepada Tan Sri Mohamed Nazir Tun Abduk Razak (kanan).
Gambar : Facebook Wan Rosdy Wan Ismail

“Pada hari ini, telah berlangsung sesi penyerahan Surat Lantikan Ahli MPEN di Wisma Sri Pahang, Kuantan kepada Tan Sri Mohamed Nazir Tun Abduk Razak, Tan Sri Datuk Seri Abdu Aziz Abdul Rahman dan Tan Sri Datuk Seri Profesor Noorul Ainur Mohd Nur,” katanya.

Justeru, beliau berharap dengan penubuhan MPEN, sektor ekonomi Negeri Pahang akan terus dapat dipacu dengan lebih komprehensif serta berdaya saing sebagai sebuah negeri maju. – MalaysiaGazette