Leong Yu Man

KUANTAN – Perihal nama ‘Kuantan’ yang disebut-sebut dalam sebuah siri anime Jepun popular baru-baru ini, ‘Jujutsu Kaisen’ dibawa dalam sidang Dewan Negeri Pahang ke-15  yang memasuki ketiga hari ini.

Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan, Leong Yu Man berkata, kerajaan negeri sedang menghubungi pihak Jepun untuk berhubung dengan penulis anime terbabit.

“Baru-baru ini nama pantai di ‘Kuantan’ disebut dalam anime popular Jepun, ‘Jujutsu Kaisen’ dan menjadikan Kuantan trending di media sosial. Jadi kerajaan negeri akan mengambil kesempatan ini untuk mempromosikan lagi pantai di Kuantan.

“Ada peminat anime ini telah menanda dalam peta Google sebagai tugu peringatan kepada watak Kento Nanami.

Jadi, kita berharap kerajaan negeri dapat endorsement (pengesahan) daripada penciptanya supaya pantai itu menjadi tarikan terbaharu buat peminat anime seluruh dunia,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Triang berkata demikian dalam jawapan tambahan selepas menjawab soalan ADUN Tanjung Lumpur, Rosli Abdul Jabar.

Nama Kuantan trending di platform media sosial sejak beberapa hari lalu selepas nama bandar raya itu disebut dalam sebuah anime Jepun terkenal, Jujutsu Kaisen

Dalam episod ke-42 yang ditayangkan pada Jumaat lalu, Kento Nanami, watak dalam anime itu ada menyebut dia ingin melawat pantai di Kuantan sebelum kematiannya.

“Malaysia, ya Malaysia. Saya patut pergi ke Kuantan. Saya akan bina rumah di pantai yang kosong,” menurut dialog tersebut.

Dalam soalannya, Rosli bertanya perancangan kerajaan negeri dalam menjadikan beberapa lokasi pantai di Tanjung Lumpur sebagai lokasi pelancongan.

Yu Man memberitahu, Rancangan Tempatan Daerah Kuantan 2035 telah menggariskan strategi menjenamakan Tanjung Lumpur sebagai lokasi tarikan makanan tempatan dan makanan laut.

“Majlis Bandaraya Kuantan pada 2022-2033 turut melaksana inisiatif Pembangunan kawasan Serambi Teruntum dengan pembinaan Pasar Ikan Basah dengan kos RM3 juta, Jalan Pintasan Tanjung Lumpur ke Serambi Teruntum (RM1.2 juta selain penganjuran pelbagai program,”katanya.

Tangkap layar watak Nanami Kento yang dimainkan di dalam episod 42 Jujutsu Kaisen

Nama ‘Kuantan’ tiba-tiba trending di aplikasi X selepas sebuah episod anime yang dikeluarkan pada bulan lepas ada menyebut nama ibu negeri Pahang.

Difahamkan, ia disebut watak Nanami Kento yang dimainkan di dalam episod 42 Jujutsu Kaisen (musim kedua) yang ditayang pada platform Netflix. – MalaysiaGazette