Terowong Genting projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Pahang yang membina sebuah laluan kereta api baru yang akan menghubungkan negeri Pantai Timur dengan Lembah Klang ketika di Jalan Lama Kuala Lumpur- Bentong, Pahang. Foto MUHD NA’IM, 11 APRIL 2023..

KUANTAN – Kerja-kerja pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) kini melebihi 50 peratus daripada jadual pelaksanaan sehingga 30 November lepas.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, projek yang melibatkan empat daerah itu menepati jadual pelaksanaannya.

“Pembinaan melibatkan Daerah Kuantan, Maran, Temerloh dan Bentong itu dijangka siap pada Disember 2026 dan dijangka beroperasi pada tahun 2027,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan Belanjawan Pahang 2024 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, di sini, hari ini.

Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff

Dalam pada itu, Mohammad Fakhruddin memberitahu, kerajaan negeri akan menaiktaraf kemudahan latihan Pahang Skills kepada Pusat Kecemerlangan dengan membangunkan kursus baharu iaitu Penyelenggaraan Landasan Keretapi selaras dengan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Jelasnya, bagi tujuan tersebut, peruntukan sebanyak RM2 juta disediakan.

Bagi mempromosikan pelancongan kereta api di laluan Wilayah Ekonomi Pahang Barat Plus tahun hadapan, katanya, kerajaan negeri telah menyediakan peruntukan sebanyak RM150,000.

Beliau berkata, ia bagi mempromosikan pakej pelancongan kereta api yang melibatkan lima stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) iaitu di Kemayan, Mentakab, Jerantut, Kuala Lipis dan Merapoh. – MalaysiaGazette