Tertuduh, Mohamad Amirul Arshad Zainudin, 22 diiring anggota polis didakwa membunuh wanita warga emas yang juga pemilik rumah sewanya di Mahkamah Majistret Selayang. Foto NUR SYADILA AMARI, 06 DISEMBER 2023.

GOMBAK – Seorang pengganggur dituduh membunuh seorang wanita warga emas, yang juga pemilik rumah yang disewanya dua minggu lalu di Mahkamah Majistret Selayang di sini hari ini.

Tertuduh, Mohamad Amirul Arshad Zainudin, 22, hanya mengangguk faham atas pertuduhan yang dibacaoleh jurubahasa di hadapan Majistret, Chai Guan Hock.

Terdahulu pada jam 9.20 pagi tadi, tertuduh yang berpakaian serba hitam dan berseluar pendek dalam keadaan tangan bergari telah dibawa ke mahkamah dengan dikawal ketat anggota polis.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang berdiri di dalam kandang tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut kertas fakta pertuduhan, Mohamad Amirul yang berasal dari Kampung Bukit Tuku, Pasir Mas Kelantan didakwa membunuh wanita bernama Hong Kee Ing, 70, menyebabkan kematian.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di tempat letak kereta di Jalan E4/1, Taman Ehsan, Kepongantara 22 November 2023 pada jam 8.30 malam hingga 23 November 2023 jam 9.50 malam.

Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak kurang 12 sebatan jika disabitkan kesalahan.

Pertuduhan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Hakimi Mohamad Rosedin dan beliau tidak menawarkan sebarang jaminan ke atas tertuduh yang tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 16 Januari 2024 sebagai tarikh sebutan semula kes menunggu laporan forensik, kimia dan hasil bedah siasat.

Media sebelum ini melaporkan kenyataan pemangku Ketua Polis Daerah Gombak Superintendan Noor Ariffin Mohamad Nasir yang mengesahkan polis akan menuduh seorang suspek lelaki yang dipercayai membunuh warga emas itu.

Mangsa dibunuh dan ditemui dalam kereta Honda City miliknya dengan kesan tikaman di perut dan kelar di leher di Taman Ehsan, Kepong 23 November lalu.

Empat lagi suspek akan dijadikan saksi pendakwaan kes di mahkamah sementara tiga lagi suspek dibebaskan oleh oleh polis.

Pada 27 November lalu, lapan suspek lelaki telah ditangkap membantu siasatan kes berkenaan dalam serbuan di kawasan Gombak.

Siasatan polis mendapati motif kejadian disebabkan tidak berpuas hati dengan kadar sewa rumah antara suspek dan mangsa. – MalaysiaGazette