Calon Barisan Nasional (BN) N.17 Gombak Setia, Datuk Megat Zulkarnain Omardin (kiri) mengangkat tangan bersama calon Perikatan Nasional (PN) N.17 Gombak Setia, Hilman Idham (tengah) dan calon bebas N.17 Gombak Setia, Mohamed Salim Ali selepas diumumkan sebagai calon sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor ke-15 di Pusat Penamaan Calon di SMK Sungai Pusu, Gombak. Foto FAREEZ FADZIL, 29 JULAI 2023.

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham bersedia untuk berdepan dengan mana-mana pihak yang mahu mencabar kemenangannya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor pada Ogos lepas.

Beliau berkata, bekas Pesuruhjaya Kehakiman, Awg Armadajaya Awg Mahmud akan mengetuai barisan enam peguamnya dalam sesi pendengaran kes Petisyen Pilihan Raya bagi DUN Gombak Setia yang bermula 11 Disember ini.

“Pendengaran kes Petisyen Pilihan Raya bagi DUN Gombak Setia yang dikemukakan akan bermula pada Isnin, 11 Disember 2023 hingga 15 Disember 2023 dan 18 Disember 2023 sehingga 22 Disember 2023 di Mahkamah Tinggi Ipoh, di hadapan Hakim, Yang Arif Datuk Abdul Wahab Bin Mohamed.

“Selaku responden, pasukan peguam bela saya akan diterajui oleh peguam berpengalaman, Awg Armadajaya dengan barisan peguam Hasshahari Johari Mawi, Mohd Radzlan Jalaludin, Mohd Tajuddin Abd Razak, Muhamad Hafizan Shafuan Kamarulzaman, Shahir Ab Razak dan Wan Rohimi Wan Daud.

“Saya yakin dan bersedia untuk berhadapan dengan cabaran yang dikemukakan melalui petisyen ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan hanya satu petisyen pilihan raya dikemukakan bagi membatalkan keputusan kerusi yang dimenangi Perikatan Nasional (PN) pada PRN Selangor, Ogos lepas.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, petisyen itu dikemukakan Barisan Nasional (BN) untuk kerusi DUN Gombak Setia yang menyaksikan parti itu tewas dengan hanya 58 undi sahaja.

Sebelum ini, PH dan BN mempertimbangkan untuk memfailkan petisyen pilihan raya di kerusi DUN Sungai Kandis, Taman Medan, Gombak Setia dan Dengkil yang majoriti kemenangan adalah rendah.

Keputusan bagi empat kerusi berkenaan menyaksikan PH-BN kalah dengan 407 undi di Dengkil, Sungai Kandis (167), Gombak Setia (58) dan Taman Medan (30). – MalaysiaGazette