Tan Sri Anifah Aman
Anifah Aman

KUALA LUMPUR – Pengerusi Perbadanan Labuan merangkap Ahli Dewan Negara, Tan Sri Anifah Aman melahirkan keyakinan tinggi terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mendengar sekali gus menyelesaikan setiap masalah menyelubungi rakyat di Sabah dan Sarawak ketika ini.

Malah kata Anifah, komitmen yang ditunjukkan kerajaan terbukti apabila memperuntukkan RM1.1 bilion dalam Belanjawan 2024 untuk menyelesaikan isu air di Sabah dan Sarawak serta Kelantan.

Kata Anifah, selain permasalahan air yang telah lama menyelebungi orang Sabah, beberapa inisiatif lain termasuklah insentif pengecualian cukai kepada entiti Labuan jalankan aktiviti kewangan Islam amatlah dihargai.

“Sejak sidang Dewan Negara, saya telah beberapa kali mengutarakan isu-isu penting rakyat Labuan namun semua itu telah didengari oleh perdana menteri kita. Peruntukan sebegini adalah keprihatinan masalah yang sedang dihadapi ketika ini.

“Komitmen beliau dalam mereformasikan negara selaras dengan halatuju Malaysia Madani dengan mengembara seluruh negara bagi mendengar keluh kesah rakyat kita amatlah melegakan kita ketika ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Dalam pada itu, Anifah juga menarik perhatian apabila mahu menjadikan Labuan sebagai sebuah bandar pintar dalam masa yang terdekat.

Antara cadangan yang dikemukakan termasuklah pemerkasaan Jawatankuasa Eksekutif Perancang Labuan, faedah cukai sebanyak 3.0 peratus kepada lebih banyak jenis perniagaan bagi menarik minat pelabur sama ada dari dalam atau luar negara.

“Syarikat-syarikat kewangan luar pesisir di Labuan hanya membayar cukai sebanyak 3.0 peratus manakala syarikat lain di Labuan membayar cukai sehingga 24 peratus seperti yang termaktub dalam Akta Percukaian 1967.

“Sekiranya faedah ini dipanjangkan kepada perniagaan-perniagaan lain, nescaya ramai pelabur akan membuka perniagaan di Labuan kerana mendapat insentif yang lebih besar. Untuk yang ketiga, kita cadang hasil kewangan yang diperolehi oleh Kerajaan di Labuan diberi kepada Labuan bagi tujuan pembangunan,” ujar bekas menteri luar negeri ini.

Bagi cadangan keempat, kata Anifah adalah penyediaan Taman Pertanian Kekal untuk membantu usahawan muda serta menjamin keselamatan makanan selain menjadi model perniagaan ‘start up’

Ini juga selaras dengan kadar pengangguran di Labuan adalah yang kedua tertinggi di Malaysia iaitu 7.2 peratus.

“Sungguhpun begitu, keluaran dalam negara kasar per kapita Labuan adalah yang kedua tertinggi di Malaysia, selepas Kuala Lumpur iaitu RM85,560.

“Apa yang kita minta hanyalah RM5 juta daripada RM100 juta insentif modal pembiayaan startup yang diumumkan Dalam Belanjawan 2024 untuk perniagaan berkaitan keselamatan makanan, alam sekitar dan kemasyarakatan,” jelas beliau.

Selain itu Anifah turut menggesa kepada Kerajaan Persekutuan supaya mempertimbangkan pembinaan jambatan yang menghubungkan Labuan dan Sabah. -MalaysiaGazette