Tertuduh, Mariyah Yaakob, 47, dan anaknya Ezuan Hafsyam Mohd Hisyam,22, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini sejurus dua pertuduhan terhadap mereka dibacakan.

MELAKA – Usahawan kontroversi warga Kemboja dan anak lelakinya yang mendakwa orang Melayu malas menerusi aplikasi Tik Tok bulan lalu ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini.

Tertuduh, Mariyah Yaakob, 47, dan anaknya Ezuan Hafsyam Mohd Hisyam, 22, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus dua pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail.

Mengikut pertuduhan, Mariyah selaku pemilik syarikat jahitan pukal, Mariyah Holdings Sdn. Bhd didakwa membuat satu penyataan dengan niat yang mungkin mengapikan kaum Melayu.

Kesalahan itu dilakukan menerusi rakaman video di aplikasi Tik Tok yang telah ditonton di sebuah rumah di Bukit Piatu, Kampung Musai dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 6 petang, 16 November lalu.

Pendakwaan terhadap ibu tunggal itu dibuat mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Sementara itu, anaknya turut didakwa secara sedar menggunakan aplikasi Tik Tok memulakan penghantaran komunikasi jelik dikeluarkan ibunya dengan niat menyakitkan hati orang lain.

Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum dibawah Seksyen 233(3) akta sama.

Sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga setahun atau denda RM 50,000 atau kedua-duanya dan hendaklah didenda selanjutnya RM 1,000 setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Perbuatan itu dilakukan antara 14 November hingga 16 November 2023 lalu menerusi aplikasi Tik Tok.

Terdahulu pendakwaan yang dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Melaka, Ahmad Sazali Omar tidak mencadangkan sebarang jaminan.

Bagaimanapun sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara hujahnya, beliau mencadangkan jaminan minimum RM30,000 bagi setiap tertuduh.

Selain itu, pasport dua beranak itu turut dimohon diserahkan kepada mahkamah selain meminta perintah untuk menghalang kedua-dua tertuduh mengeluarkan kenyataan berkaitan kes.

Peguam kedua-dua tertuduh, Kamal Hisham Ja’afar bagaimanapun merayu jumlah jaminan rendah memandangkan perniagaan tekstil yang diusahakan terjejas selepas diboikot pengguna susulan kontroversi itu.

Mohd Sabri pada penghakimannya kemudian membenarkan dua beranak itu diikat jaminan dengan jumlah RM15,000 terhadap Mariyah manakala RM10,000 bagi anaknya serta membenarkan semua permohonan dipohon pihak pendakwaan.

Mahkamah kemudian menetapkan 12 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen bagi kedua-dua kes berkenaan.

Sebelum ini, media melaporkan usahawan itu telah hadir di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka pada 21 November lalu bagi rakaman percakapan.

Ia susulan polis negeri ini telah menerima sebanyak 14 laporan berhubung klip tular wanita berkenaan yang mengeluarkan kata-kata orang Melayu malas ketika membuat pentstriman langsung di TikTok, bulan lalu. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast