Foto Instagram Syura.

KUALA LUMPUR – Penyanyi, Syura Badron memberi amaran keras terhadap individu yang menghinanya dan bersedia mengheret mereka ke muka pengadilan.

Syura atau nama sebenarnya, Zuraidah Badron, 37,  tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-udang sekiranya masih ada individu menghinanya secara mesej langsung (DM) atau secara umum.

“Korang (kalian) yang nak menegur, saya terima dengan hati terbuka tapi tak perlu sampai memaki dan menghina.

“Kalian tak sedar ke yang kalian pun sedang mengumpat juga sekarang ini? Ambillah pengajaran daripada apa yang sudah saya alami.

“Kalau ada yang nak merasa turun naik mahkamah, sila teruskan berbuat demikian, tunggu sahaja surat daripada peguam saya,” ujar Syura menerusi status yang dimuat naik menerusi akaun Instagram hari ini.

Dalam pada itu, Syura turut memuat naik tangkap layar mesej menghina yang keterlaluan daripada individu yang menggunakan akaun @zabbick.

Syura meminta penggunakan akaun berkenaan untuk menghubunginya dalam tempoh 24 jam, jika tidak perkara itu akan diserahkan kepada peguamnya.

Syura menjadi mangsa kecaman netizen selepas dia dan dua lagi defendan kes saman fitnah Siti Nordiana iaitu Lan Solo dan isterinya, Nur Sheila selesai mengadakan majlis sidang akhbar semalam.

Majlis sidang akhbar tersebut diadakan selepas kes saman fitnah RM2.5 juta yang difailkan Siti Nordiana terhadap mereka bertiga dan dua lagi individu iaitu Pegawai Perhubungan Awam Rakaman FMC Music, Sam Musyadzafar Samin dan jurusolek bebas, Razidah Ahmad Senusi berakhir dengan perdamaian semalam.

Mereka disaman oleh Siti Nordiana pada Julai 2021 selepas kelima-lima defendan telah menyiar, mengeluar serta menerbitkan kata-kata berunsur fitnah terhadap penyanyi itu  dalam satu sesi siaran langsung dalam Instagram masing-masing. – MalaysiaGazette