Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Kemaman
Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Kemaman

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar selesai mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Kemaman di sini hari ini.

Beliau yang mengangkat sumpah jawatan itu di hadapan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

“Alhamdulillah. Selesai sudah Majlis Angkat Sumpah sebagai Ahli Parlimen Kemaman petang ini.

“Saya mohon doa daripada semua agar diberikan kekuatan untuk memikul amanah ini dengan sebaiknya. Doa dan sokongan daripada semua terutama rakyat Terengganu tercinta amat saya harapkan,” katanya di Facebook hari ini.

Turut hadir adalah Timbalan Presiden Pas yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin serta Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin dan Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Ronald Kiandee.

Hadir sama adalah Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor dan Setiausaha Dewan Rakyat, Dr Nizam Mydin Bacha Mydin.

Ahmad Samsuri menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman selepas memperoleh 64,998 undi iaitu dengan majoriti 37,220 undi.

Beliau menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang memperoleh 27,778. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.