KUALA LUMPUR – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah mengaktifkan semula Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara.
Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya juga telah menggerakkan sekretariat TVET Negara manakala pelancaran dasar TVET Negara akan dibuat pada Jun depan.
“Kita akan bawa kepada mesyuarat Jemaah Menteri bagi kelulusannya
“Apa yang penting ianya bukan satu dasar yang baharu tetapi penyelarasan aktiviti pendidikan TVET di antara 12 kementerian.
“Penyelarasan kepada 1,344 institusi TVET di seluruh negara kerajaan dan swasta harus berkolibrasi,” katanya kepada pemberita di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, hari ini.
Tambahnya, setakat ini, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Persatuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) telah menjalinkan usahasama dengan lebih 10,000 syarikat.
“Semua peserta TVET yang telah menamatkan kursus akan terus diserap masuk untuk bekerja di syarikat-syarikat yang berdaftar di bawah FMM ini.
“MyNext TVET merupakan satu program untuk menterjemahkan visi alam pekerjaan dalam bidang baharu di mana TVET menjadi pemangkin utama bagi menyediakan kursus-kursus atau pendidikan TVET ini kepada bakal tenaga kerja di negara kita,” katanya.
Beliau berkata, KKDW menyarankan agar hanya 30 peratus sahaja peserta TVET ini berada di dalam kelas, manakala 70 peratus lagi mesti berada di bengkel, makmal dan di tempat bekerja.
“Ia supaya mereka dapat menimba pengetahuan dan mendapat pendedahan di peringkat awal.
“Ertinya selepas tamat kursus, mereka mempunyai latar belakang yang kuat dalam bidang-bidang tertentu, ketersediaan perlu dibuat.
“Dengan ini kebolehpasaran lulusan TVET akan dapat dipertingkatkan dari kadar 98.5 peratus kepada sekurang-kurangnya 99.5 peratus,” katanya.
Ditanya tentang bidang baharu TVET, Ahmad Zahid berkata, setakat terdapat tiga kursus baharu yang telahpun diperkenalkan kepada peserta.
“Antaranya bidang kenderaan elektrik (EV), kecerdasan buatan (AI) dan kejuruteraan aeroangkasa.
“Selain itu, bidang telekomunikasi pun ada di mana kita berada di tahap 5G dan dalam waktu terdekat mungkin mencapai ke tahap 5.5G,” katanya. – MalaysiaGazette