Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Pencapaian cemerlang Pahang bersama Kerajaan Perpaduan dalam aspek pentadbiran dan ekonomi telah terbukti hasil negeri sebanyak RM1.169 bilion sehingga 5 Disember tahun ini.

Kerajaan Perpaduan yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu terus kekal stabil menyaksikan kejayaan apabila kerajaan negeri mengutip hasil melebihi RM1 bilion untuk tempoh dua tahun berturut-turut.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata,pencapaian itu merupakan kejayaan yang membanggakan terutama dalam keadaan kelembapan ekonomi yang sedang melanda dunia.

“Apa yang ingin saya nyatakan di sini pencapaian ini membuktikan Kerajaan Perpaduan yang dibentuk selepas PRU-15 lalu terus kekal stabil.

”Baik dari aspek kestabilan politik mahupun kestabilan kaum yang wujud di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi ucapan pergulungan Belanjawan Pahang 2024, Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri  (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Menurut Wan Rosdy,  belanjawan bertemakan Pahang Prihatin Rakyat Makmur merupakan peruntukan terbesar dalam sejarah pembentangan belanjawan negeri ini.

“Ini kerana kerajaan Pahang pada hari ini mempunyai kemampuan. Kerajaan memperuntukkan RM1.125 bilion bagi perbelanjaan mengurus manakala RM301.29 juta bagi perbelanjaan pembangunan,” katanya. – MalaysiaGazette