KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghargai usaha dan peranan yang dimainkan oleh Alumni Universiti Teknologi MARA (UiTM) khususnya dalam agenda pembangunan orang Melayu dan Bumiputera.
Anwar juga menzahirkan rasa bangga dengan pencapaian UiTM sejak awal penubuhannya sehingga berjaya melahirkan lebih 700,000 alumni di seluruh negara.
“Semalam saya menerima kunjungan Persekutuan Alumni UiTM Malaysia (PAUiTM) di pejabat.
“Saya berbangga melihat hasil usaha UiTM sejak penubuhannya yang telah melahirkan lebih 700,000 alumni di seluruh negara sehingga kini. Ini adalah hasil usaha kejuruteraan sosial yang telah mengubah landskap pembangunan negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Dalam pada itu, Anwar berkata, beliau akan memberi dukungan penuh terhadap agenda Gerakan Alumni UiTM Turun Masyarakat (GEMA) yang akan dilaksanakan oleh PAUiTM khususnya terkait pendidikan dan pembangunan ekonomi anak bangsa.
“Saya memberi mandat kepada PAUiTM untuk menerajui ikhtiar pemikiran baharu orang Melayu,” ujarnya. – MalaysiaGazette