Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyatakan komitmen memerangi gejala rasuah tanpa ada sebarang kompromi di negara ini.

Ketua Pesuruhjayanya. Tan Sri Azam Baki berkata, sempena sambutan Hari Anti Rasuah Antarabangsa (HARA) 2023, pihaknya telah menjalinkan kerjasama dengan Persatuan Kolej dan Universiti Swasta Malaysia (MAPCU) untuk membawa mesej kepada anak muda mengenai rasuah.

“Di Malaysia, kita hari ini menyambut HARA dengan pelbagai aktiviti yang boleh memanfaatkan masyarakat serta anak muda demi membawa kesedaran mengenai pentingnya kita berikrar anti rasuah untuk memeranginya.

“Lebih istimewa pada tahun ini kita menjalin kerjasama dengan MAPCU serta kesediaan persatuan ini menjadi rakan kongsi dalam menyampaikan komitmen dan keseriusan SPRM untuk bersama-sama menangani isu rasuah di negara ini dengan berganding bahu dengan anak-anak muda di peringkat pengajian tinggi.

“Ini mesej jelas SPRM  sangat serius dalam membawa kesedaran memerangi rasuah dalam kalangan rakyat khususnya anak-anak muda dan tidak sanggup melihat generasi muda kita yang merupakan bakal pemimpin negara terjerat dalam perangkap rasuah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam amanat khas sempena sambutan HARA 2023 menerusi rakaman video di Forum Antirasuah Antarabangsa di Universiti Asia Pasifik di Bukit Jalil hari ini.

Beliau juga menyatakan rasa keterujaan selepas kolej dan universiti swasta yang bernaung di bawah persatuan berkenaan menyatakan komitmen memerangi rasuah seiring hala tuju dan strategi yang digariskan kerajaan dan SPRM iaitu tadbir urus baik, ketelusan dan akauntabiliti.

“Kita mahu masyarakat tidak berkompromi dan tidak bertolak ansur dengan amalan rasuah. Kami mahu sebuah negara yang adil saksama untuk semua memartabatkan nilai kejujuran, integriti dan memelihara maruah manusia.

“Oleh demikian saya mengajak rakyat Malaysia bersatu padu dan terus melawan rasuah,” tegasnya.

Dalam perkembangan lain, MAPCU menyatakan komitmen untuk menyampaikan mesej anti rasuah itu kepada semua anak-anak muda khususnya penuntut di universiti dan kolej swasta untuk memastikan pendirian menentang rasuah didengar seluruh negara. – MalaysiaGazette