KUALA LUMPUR – Pemecatan Isham Jalil oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada Rabu lalu adalah muktamad.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan yang dibuat dan dimuktamadkan oleh MKT itu tidak perlu melalui siasatan Jawatankuasa Disiplin parti.
“Ini kerana Jawatankuasa Disiplin juga masih perlu merujuk kepada MKT yang pada akhirnya membuat keputusan itu (pemecatan).
“Jadi, apa yang diputuskan (pemecatan Isham Jalil) oleh Majlis Kerja Tertinggi UMNO adalah keputusan muktamad,” katanya selepas melancarkan Sistem Dokumen Kelayakan Disahkan Digital Rentas Sempadan, di sini, hari ini.
Isham hari ini menyatakan beliau tidak akan merayu kepada pimpinan tertinggi parti susulan pemecatannya kerana beranggapan tidak guna untuk berbuat keputusan untuk memecatnya dibuat Ahmad Zahid tanpa melalui Lembaga Disiplin.
Ditanya tindakan ke atas Isham merupakan amaran kepada ahli parti yang mengkritik UMNO serta Presidennya, Ahmad Zahid berkata, tidakan sedemikian tidak membawa kepada pertimbangan tindakan disiplin.
“Tetapi apabila menghina parti sendiri dan mengecil-gecilkan UMNO sebagai sebuah parti yang dianggotainya, ia bererti tindakan yang dilakukan oleh MKT supaya tidak ada sebarang usaha tikus memperbaiki labu ini dalam UMNO itu sendiri tidak berulang lagi,” ujarnya. – MalaysiaGazette