Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah diberi penerangan mengenai Tugu Peringatan HMS Repulse dan HMS Prince of Wales, di Teluk Cempedak, Kuantan hari ini.

KUANTAN – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyempurnakan perasmian Tugu Peringatan kepada dua kapal perang British, HMS Repulse dan HMS Prince of Wales, di Teluk Cempedak, di sini hari ini.

Keberangkatan tiba baginda turut diiringi Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyempurnakan perasmian Tugu Peringatan kepada dua kapal perang British, HMS Repulse dan HMS Prince of Wales, di Teluk Cempedak, Kuantan

Pembinaan Tugu Peringatan dengan kerjasama Suruhanjaya Tinggi British di Malaysia dan Royal Navy United Kingdom (UK) tersebut sempena memperingati ulang tahun ke-82 kedua-dua kapal perang yang ditenggelamkan pada 10 Disember 1941.

Ketika itu, kapal perang HMS Prince of Wales, kebanggaan Tentera Laut Diraja, dan kapal perang HMS Repulse ditugaskan untuk memintas armada pencerobohan Jepun ke Tanah Melayu.

Namun, kapal-kapal itu telah ditenggelamkan bersama 840 kelasi dalam kejadian di lokasi 61 batu nautika di luar pantai Kuantan.

Tugu Peringatan yang dibina menghadap Laut China Selatan itu turut menempatkan Auxiliary Anchor, dipercayai tinggalan daripada HMS Repulse, yang dihadiahkan UK kepada Malaysia.

Sauh terbabit sebelum ini diselamatkan daripada aktiviti penyeludupan haram pada tahun 2015 dan dipamerkan di Muzium Tentera di Port Dickson, Negeri Sembilan sebelum dipindahkan ke sini.

Sementara itu, cucu kepada Pegawai Pemerintah HMS Prince of Wales, Kapten John Leach yang terkorban dalam kejadian, Henrietta Wood turut menyampaikan ucapannya pada majlis hari ini.

“Datuk saya, Kapten John Leach antara yang tidak terselamat dalam kejadian itu. Dengan perasmian tugu peringatan ini merupakan penghargaan besar dan satu pengalaman yang mengharukan buat saya.

“Terima kasih tidak terhingga kepada Tuanku kerana merealisasikan upacara hari ini. Saya juga secara peribadi hadir ke majlis ini mewakili kesemua keluarga mereka yang terbunuh mahupun yang terselamat,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast