bursa ringgit
Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR – Sentimen konsolidasi dijangka berterusan di Bursa Malaysia pada minggu depan sehingga terdapat lebih banyak kejelasan mengenai prospek ekonomi global.

Pada minggu depan, Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS akan bersidang semula untuk mesyuarat terakhirnya pada 12-13 Dis. Data Indeks Harga Pengguna yang penting untuk bulan November juga akan dikeluarkan pada 13 Dis.

Data AS baru-baru ini telah meyakinkan pasaran bahawa Rizab Persekutuan (Fed) tidak akan menaikkan penanda aras pinjamannya pada bulan ini.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Thong Pak Leng berkata selain itu, sentimen pasaran terus dipengaruhi oleh ketegangan di Timur Tengah yang berterusan dan pergerakan harga minyak berikutan harga minyak telah merosot untuk minggu ketujuh berturut-turut dengan kebimbangan mengenai lebihan dan permintaan yang lemah.

Oleh itu, beliau percaya sentimen pasaran domestik akan kekal lemah buat masa ini.

“Indeks petunjuk pasaran menghampiri paras terlebih jual, oleh itu, saya percaya pengumpulan saham akan terus berkurangan.

“Bagaimanapun, sentimen pasaran yang lemah dijangka berpanjangan, justeru, saya lebih memilih untuk terus berhati-hati,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata paras sokongan segera pada masa ini berada pada 1,435 dan pecahan di bawah paras ini mungkin menunjukkan pembetulan yang seterusnya dalam tempoh terdekat.

“Secara keseluruhannya, kami menjangka FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) akan diniagakan antara 1,435 dan 1,455 pada minggu depan,” katanya.

Sepanjang minggu ini, Bursa Malaysia berada dalam julat negatif dengan sentimen terjejas oleh banyak data yang tidak begitu menggalakkan daripada AS, China, Jepun dan negara-negara jiran.

Prospek kadar faedah AS yang tidak jelas turut menyumbang kepada permintaan yang rendah untuk ekuiti tempatan.

Bagi asas Jumaat kepada Jumaat, FBM KLCI merosot 14.41 mata untuk mengakhiri minggu ini kepada 1,441.97 daripada 1,456.38 minggu lepas.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 94.97 mata kepada 10,630.68, Indeks FBMT 100 susut 94.48 mata kepada 10,300.30 dan Indeks FBM Emas Shariah turun 146.66 mata kepada 10,730.92.

Indeks FBM 70 merosot 91.08 mata kepada 13,956.97 manakala Indeks FBM ACE berkurangan 26.74 mata kepada 5,106.42.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 45.63 mata kepada 16,333.94, Indeks Tenaga merosot 19.37 mata kepada 796.23, Indeks Perladangan jatuh 33.42 mata kepada 6,956.99 manakala Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan berkurangan 2.29 mata kepada 169.70.

Bursa Malaysia mengakhiri minggu ini dengan jumlah dagangan yang rendah sebanyak 15.50 bilion unit bernilai RM9.66 bilion daripada 17.66 bilion unit bernilai RM13.94 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama merosot kepada 9.07 bilion saham bernilai RM8.30 bilion daripada 10.85 bilion saham bernilai RM12.40 bilion pada minggu lepas.

Jumlah dagangan waran, bagaimanapun, naik kepada 3.15 bilion unit bernilai RM324.92 juta daripada 3.03 bilion unit bernilai RM361.80 juta minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran ACE merosot kepada 3.23 bilion saham bernilai RM1.03 bilion daripada 3.76 bilion saham bernilai RM1.17 bilion sebelum ini. – BERNAMA