Jenazah pasangan suami isteri dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Penchala, di sini malam ini.

KUALA LUMPUR – Jenazah pasangan warga emas yang mati dibunuh anak lelaki mereka semalam, selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Penchala, di sini malam ini.

Terdahulu, jenazah Allahyarham  Agus Omar, 82 dan Allahyarham Darlisma Nyatu Salleh, 72 dimandikan dan disembahyangkan di Masjid Jamek Tengku Abdul Aziz Shah di sini sebelum tiba di tanah perkuburan berkenaan pada jam 9.15 malam.

Seramai kira-kira 100 orang terdiri daripada ahli keluarga, saudara mara dan jiran hadir ke pengebumian berkenaan yang selesai jam 9.40 malam.

Dalam kejadian sekitar jam 8 malam itu, pasangan suami isteri berkenaan ditemukan terbaring  berlumuran darah di ruang tamu mereka di Kampung Sungai Penchala, akibat ditikam berkali-kali oleh anak lelakinya yang berusia 42 tahun.

Lelaki itu yang merupakan anak ketiga daripada empat beradik bagaimanapun berjaya ditahan kira-kira jam 10.30 malam yang sama di Terowong Penchala Lebuhraya Sprint menghala ke bandar raya ini.

Suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields dan hasil saringan air kencing mendapati dia positif tiga jenis dadah selain mempunyai sembilan rekod janayah lampau membabitkan dadah.

Suspek diremah selama tujuh hari bermula hari ini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – BERNAMA