PETALING JAYA – Tindakan polis yang mengklasifikasikan semula kematian Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin kepada bunuh sedikit banyak membersihkan imej keluarganya yang terpalit dengan dakwaan penderaan.

Datuk kepada Zayn Rayyan, Muhd Zahari Mohd Reba berkata, dia meminta pengguna media sosial berhenti menyebarkan berita tidak benar berkenaan punca kematian cucunya itu.

“Saya sudah keluarkan dalam Facebook minta pihak netizen mengeluarkan benda yang sahih.

“Atau sebarkan apa yang disahkan PDRM (punca kematian),” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai, di sini, hari ini.

Mayat kanak-kanak autisme itu ditemukan di aliran anak sungai berhampiran kawasan kediamannya kira-kira jam 10 malam pada Rabu oleh kumpulan penduduk yang menjalankan operasi mencari bersama pihak polis.

Tubuh mangsa ditemukan terbaring di tepi anak sungai terletak kira-kira 200 meter dari blok kediamannya di di Blok R Apartmen Indah.

Kes kematian kanak-kanak itu diklasifikasikan semula sebagai bunuh selepas bedah siasat menemui kesan kecederaan pada leher dan badan mangsa.

Dalam pada itu, Muhd Zahari tidak menolak kemungkinan cucunya bertindak agresif ketika berdepan detik cemas sebelum ditemui mati, Rabu lalu.

“Zayn Rayyan ini kalau orang sakitkan dia, dia lebih agresif, saya sendiri kena gigit tujuan kita nak gurau dengan dia.

“Bila agresif dia gigit, mungkin situasi itu berlaku,” katanya.

Ketika ditanya tentang keadaan ahli keluarganya selepas mendapat perkhabaran kematian Zayn Rayyan, dia berkata, semua dalam keadaan berdukacita.

“Bagi saya kita sebagai Islam kena reda walaupun berat kita nak terima, tapi yang pergi tetap pergi.

“Kadang-kala mak dia termenung, menangis,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast