Dua kru bot Pilot Sri Perkasa 81 (kiri dan kanan) dalam keadaan selamat.

KUALA LUMPUR – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor telah menemukan bot Pilot Sri Perkasa 81 bersama dua krunya di Perairan Pulau Tengah pada sekitar pukul 3.15 petang tadi.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kapten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, penemuan itu adalah hasil maklumat Area Control Centre (ACC) SWASLA Klang yang mengesan kedudukan bot Pilot Sri Perkasa 81 itu kira-kira pada pukul 1 petang di sekitar Perairan Pulau Tengah.

Sejurus menerima maklumat, Bot Pengawal 25 diatur gerak ke lokasi dan menemukan bot Pilot Sri Perkasa 81 di kedudukan lebih kurang 2.4 batu nautika dari lokasi terakhir sebelum bot berkenaan gagal dihubungi.

Hasil pemeriksaan mendapati bot itu mengalami kerosakan jentera utama dan janakuasa.

Namun, kedua-dua kru bot tersebut, Muhammad Azizi Azman, 28, dan Muhammad Baharuddin Bahari, 24, berada dalam keadaan selamat.

Bot Pilot Sri Perkasa 81 telah ditunda dengan menggunakan bot Pilot Sri Perkasa 85 ke Perairan Terminal Penumpang South Port dan tiba pada pukul 8.15 malam ini.

Terdahulu, bot Pilot Sri Perkasa 81 ditugaskan menghantar seorang pilot ke kapal DHT Bronco di Perairan Pulau Tengah, sebelum gagal dihubungi dan dikesan lebih kurang pukul 9.30 pagi.

Orang ramai dan komuniti maritim diingatkan agar sentiasa memeriksa keadaan bot agar tiada kerosakan dan bersedia untuk berlayar supaya tidak mengundang sebarang insiden. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast