Datuk Seri Takiyuddin Hassan. Foto MUHD NA’IM, 03 NOVEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Pas menyifatkan kenyataan  Lim Kit Siang berkenaan ‘Perdana Menteri Malaysia dalam kalangan orang bukan Melayu’ sebagai ulangan propaganda beracun.

Setiausaha agung parti itu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ia bukan sahaja mengelirukan rakyat malah berisiko  menimbulkan ketidakharmonian dalam negara.

“Adalah menjadi pengetahuan umum beberapa pimpinan DAP telah membangkitkan perkara ini sejak puluhan tahun yang lalu, termasuk pada 2012 oleh mendiang Karpal Singh dan 2017 oleh Lim sendiri,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut beliau, Kit Siang menggunakan Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara dan Wawasan 2020 memberikan gambaran yang salah tentang orang Melayu atau citra politik orang Melayu dengan menyebut kesemua dokumen tersebut bermatlamatkan “Impian Malaysia” yang berbilang etnik, agama dan budaya, bukan impian mono etnik.

“Beliau juga kelihatan mengambil peluang membangkitkan perkara ini tatkala UMNO, sebagai sebuah parti orang Melayu, berada dalam keadaan tersepit sebagai anggota Kerajaan Madani sehingga menyebabkan parti tersebut membisu seribu bahasa.

“Menurut Kit Siang. kenyataannya itu juga disokong oleh fakta bahawa Perlembagaan memperuntukkan bahawa orang bukan Melayu boleh menjadi Perdana Menteri,” tambahnya.

Jelas Takiyuddin, veteran DAP itu sekali lagi bertindak seolah-olah jahil tentang undang-undang kerana tidak melihat konvensyen yang diamalkan negara sejak merdeka iaitu bukan sahaja tidak ada orang bukan Melayu menjadi Perdana Menteri malah tiada juga yang dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Tambah beliau, ia sekaligus membuktikan Kit Siang tidak dapat menyembungikan prejudisnya terhadap peranan orang Melayu sebagai pemimpin negara.

“Dengan perkataan lain, Lim seolah-olah beranggapan hanya dengan mempunyai seorang Perdana Menteri bukan Melayu barulah Malaysia boleh dianggap telah mencapai impian sebagai sebuah negara yang berjaya.

“Bagi Lim, semua usaha yang dilakukan dan semua kejayaan yang telah dicapai selama ini di bawah kepimpinan orang Melayu dalam mewujudkan sebuah negara yang maju, berpadu, bertimbang rasa, saling menghormati dan harmoni seolah-olah tidak bermakna sekiranya jawatan Perdana Menteri terus disandang oleh kelompok etnik itu,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Pas berpendirian bahawa naratif ‘Impian Malaysia’ Lim hari ini tidak jauhberbeza dengan ‘Malaysian Malaysia’ yang digagaskan oleh bekas Perdana Menteri Singapura, mendiang Lee Kuan Yew suatu ketika dahulu.

“Helah berselindung di sebalik kata-kata manis baik oleh Lee mahupun Lim tidak dapat menyembunyikan niat sebenar mereka, iaitu mahu menimbulkan polemik serta persoalan tentang kedudukan dan hak keistimewaan orang Melayu/Bumiputera seperti yang diperuntukkan oleh Perlembagaan,” katanya lagi.

Sehubungan itu, Pas katanya, memberi amaran kepada pihak yang masih berdegil dalam membangkitkan perkara seumpama ini supaya berhenti mengamalkan perbuatan mengumpan kemarahan (rage baiting) orang Melayu atau bumiputera
khasnya kerana ia juga mengundang berulangnya ketegangan dalam masyarakat yang pernah mencetuskan peristiwa hitam perbalahan kaum di negara ini lebih 50 tahun yang lampau.

Terbaharu, Kit Siang mengesahkan sudah dipanggil untuk memberikan keterangan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung satu kenyataan dikeluarkannya di Manchester, United Kingdom pada 29 November lalu.

Bagaimanapun beliau tidak memperincikan balai polis mana yang akan beliau pergi untuk memberikan keterangan susulan ceramahnya kepada pelajar Malaysia di Manchester. – MalaysiaGazette