KUALA LUMPUR – Pemilihan S. Logeswaran sebagai pengadil bagi perlawanan final Piala Malaysia 2023 antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC (TFC) di Stadium Nasional Jumaat lalu telah dilakukan dengan rapi.
Ia juga mendapat persetujuan Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Setiausaha Agung (FAM), Datuk Noor Azman Rahman berkata, pemilihan Logeswaran dari Selangor itu juga mendapat persetujuan Jawatankuasa Pengadil FAM selepas mengambil kira faktor beliau menunjukkan prestasi yang sangat baik di sepanjang Liga Malaysia 2023 mengikut laporan penilai pengadil, selain beliau adalah pengadil yang berkecuali.
“Logeswaran juga merupakan antara pengadil senior dalam saingan Liga Malaysia dengan beliau adalah Pengadil Kebangsaan Kategori A,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook rasmi FAM hari ini.
Terdahulu, beliau berkata, FAM tidak dapat melantik pengadil dalam kalangan enam Pengadil Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bagi mengendalikan Final Piala Malaysia 2023 lalu antaranya disebabkan beberapa faktor dan kekangan.
Katanya, Razlan Joffri Ali dan Kamil Zakaria merupakan pengadil kelahiran Terengganu, Tuan Yaasin Tuan Hanafiah pengadil berdaftar di Johor manakala Usaid Jamal yang baru bertugas di Melaka pula pernah berdaftar sebagai pengadil di Johor sekaligus mereka tidak dapat dilantik atas faktor pengadil berstatus berkecuali.
Baki dua lagi Pengadil FIFA jelasnya, Suhaizi Shukri dari Kedah terlibat dengan tugasan Piala AFC manakala Nazmi Nasaruddin dari Pulau Pinang berada di Arab Saudi untuk tugasan pengadil.
Sementara itu, Noor Azman memaklumkan berhubung beberapa keputusan pada aksi final tersebut yang dipertikaikan, keputusan-keputusan yang dibuat itu adalah tepat selepas penelitian menerusi rakaman video.
Katanya, bagi insiden sepakan penalti yang diberikan untuk gol pertama JDT pada minit keenam, pengadil berada pada kedudukan yang tepat untuk membuat keputusan dan memang ada sepakan dilakukan oleh pemain Terengganu FC ke atas pemain JDT dan ia juga berlaku dalam kawasan penalti.
“Bagi insiden sepakan penalti untuk gol penyamaan Terengganu FC pada minit ke-21 pula, kesalahan pemain Johor Darul Ta’zim terhadap pemain Terengganu FC telah jelas dilihat dan dibantu oleh pembantu pengadil tambahan satu, sekaligus keputusan pengadil dibuat berdasarkan bantuan daripada pembantu pengadil tambahan satu itu dan bukanlah atas desakan dan permintaan daripada pemain-pemain Terengganu FC,” ujarnya.
Katanya lagi, dalam satu lagi isu berkaitan, FAM tidak menerima apa-apa maklumat berkaitan teguran yang diberikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FIFA, Pierluigi Collina terhadap mutu pengadilan pada aksi final tersebut dan apa yang tular di media sosial itu adalah berita atau kenyataan palsu.
Final Piala FA antara JDT dan Terengganu FC menimbulkan kemelut apabila Logeswaran dikatakan bukan pengadil dalam kalangan pengadil FIFA.
Ini berdasarkan semakan mengikut Senarai Pengadil Antarabangsa FIFA 2023 di laman sesawang digitalhub.fifa.com, nama Logeswaran tidak berada dalam senarai terbabit.
Senarai nama terbabit hanya meletakkan enam pengadil FIFA dari Malaysia selain sembilan pembantu pengadil, empat pengadil futsal dan dua pengadil bola sepak pantai. – MalaysiaGazette