PETALING JAYA – Pasukan forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memulakan proses pemeriksaan rumah ke rumah penduduk di Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai di sini malam ini.
Pemeriksaan itu sebahagian daripada proses siasatan kes bunuh kanak-kanak berusia enam tahun, Zyan Rayyan Abdul Matiin baru-baru ini.
Kira- kira lebih 25 anggota yang terdiri daripada polis Ibu Pejabat Kontinjen Selangor telah memulakan proses pemeriksaan itu bermula pukul 8.40 malam.
Mereka dilihat memasuki blok R, Apartmen Idaman dan sebahagiannya menaiki tingkat dua dan tiga di blok berkenaan untuk menjalankan proses pemeriksaan itu.
Pada masa yang sama, mereka melarang pengamal media yang melaporkan perkembangan sejak pagi tadi untuk merakam operasi berkenaan.
Pengamal media juga diminta memberi kerjasama tidak berkumpul di hadapan blok R sementara polis sedang terlibat dalam pemeriksaan rumah ke rumah.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan pemeriksaan dari rumah ke rumah diteruskan malam ini untuk mengumpul lebih banyak bahan bukti untuk membantu siasatan kes bunuh Zyan Rayyan.
“Pemeriksaan malam ini melibatkan anggota dari unit forensik dan pasukan JSJ IPK Selangor,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette malam ini.
Petang tadi, beliau juga mengesahkan polis menantikan keputusan sampel DNA yang diambil daripada penduduk situ yang dijangka diperoleh dalam tempoh tiga hari lagi.
Sebelum itu, sekitar pukul 7.50 malam, lebih empat buah kereta pacuan empat roda Unit Forensik PDRM dilihat memasuki kawasan perumahan itu bagi tujuan meneruskan siasatan. – MalaysiaGazette
















