Tai Chun Wei (tengah, baju hitam) didakwa atas kesalahan memindah keluar wang syarikat di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

BUTTERWORTH – Seorang bekas pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan memindah keluar wang syarikat berjumlah RM55,439.64 pada tiga tahun lalu.

Tertuduh, Tai Chun Wei, 39, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menggunakan kedudukannya sebagai pengarah syarikat membuat pemindahan wang syarikat berjumlah RM55,439.64 tanpa membuat mesyuarat agung.

Tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut.

Wang itu didakwa dipindahkan ke syarikat milikan tunggal milikannya bagi mendapatkan manfaat secara langsung untuk dirinya.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Icon City, Bukit Mertajam pada 4 Februari 2020.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 218 (1) (C) Akta Syarikat 2016 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda maksimum RM3 juta atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Qatrin Nada Harun manakala tertuduh diwakili peguam Eng Yuh Pei.

Ahli keluarga tertuduh cuba menutup wajahnya menggunakan jaket hitam bagi memastikan pihak media gagal merakam wajah lelaki itu.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 beserta seorang penjamin dan kes akan disebut semula pada 17 Januari depan.

Terdahulu, suasana di pekarangan bangunan mahkamah itu bertukar kecoh apabila tiga individu dipercayai ahli keluarga tertuduh mendekati van polis sebelum menerpa ke arah lelaki itu.

Seorang wanita yang juga ahli keluarga tertuduh terjatuh dalam insiden tolak-menolak itu.

Dua lelaki dan seorang wanita itu juga bertindak menutup wajah tertuduh menggunakan sehelai jaket berwarna hitam bagi memastikan pihak media gagal merakamkan wajah lelaki tersebut.

Dalam proses polis mengiring tertuduh ke lokap berlaku tolak-menolak antara individu terbabit sehingga salah seorang daripada ahli keluarga tersebut terjatuh. – MalaysiaGazette