Dr Dzulkefly Ahmad
Dr Dzulkefly Ahmad

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim percaya kembalinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad sebagai Menteri Kesihatan akan memberi fokus yang lebih kukuh terhadap kementerian berkenaan.

Beliau berkata, pengalaman Dr Dzulkefly yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor amat diperlukan.

“Kementerian Kesihatan juga terbeban dengan banyak masalah, sebahagiannya diwarisi dan sebahagiannya untuk memenuhi tuntutan rakyat dari segi mutu kesihatan lebih baik.

“Jadi kita harap insya-Allah dia dapat jalankan tugas dengan baik,” katanya dalam sidang media selepas mengumumkan rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya, hari ini.

Dr Dzulkefly mengambil tempat Dr Zaliha Mustafa yang bertukar portfolio ke Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).

Pengarah Strategi Parti Amanah Negara (Amanah) itu bukan tokoh yang asing di Kementerian Kesihatan kerana beliau menyandang portfolio yang sama ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) di bawah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Berhubung langkah mewujudkan dua kementerian berasingan untuk portfolio komunikasi dan digital, Anwar memberitahu, ia perlu dilakukan berikutan cabaran dan kritikan yang timbul.

Belian menambah, komunikasi melalui media sosial memberi cabaran terhadap Kerajaan Perpaduan.

“Kritikan yang diberikan terhadap kami adalah walaupun dasar-dasar sangat baik namun komunikasi untuk menyebarkan maklumat tidak begitu berkesan atau memuaskan,” jelasnya.

Anwar berkata, transformasi digital juga merupakan tumpuan utama Kerajaan Perpaduan dan antara cabaran yang dihadapi adalah mengubah pusat data baharu, minat terhadap kecerdasan buatan (AI) dan keperluan untuk meningkatkan kefahaman pelajar di pelbagai peringkat.

Di bawah rombakan Kabinet tersebut, Kementerian Komunikasi diterajui oleh Fahmi Fadzil manakala Kementerian Digital diketuai oleh Gobind Singh Deo. – MalaysiaGazette