Editor The Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown menunjukkan buku The Sarawak Report pada Majlis Pelancaran The Sarawak Report :The Inside Story of the 1MDB Expose di Grand Ballroom, Hotel Sheraton, Petaling Jaya, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 08 SEPTEMBER 2018
Editor The Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini, mengarahkan tiga pihak termasuk Pengarang Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown, membayar ganti rugi berjumlah RM300,000 kepada Sultanah Nur Zahirah kerana memfitnah Sultanah Terengganu itu.

Dua lagi ialah penerbit Gerakbudaya Enterprise Chong Ton Sin, dan syarikat pencetakan Vinlin Press Sdn Bhd.

Dalam keputusan sebulat suara itu, tiga panel yang dipengerusi oleh Hakim Mahkamah Rayuan,  Datuk Hadhariah Syed Ismail  bersama hakim Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azhahari Kamal Ramli memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan dibuat baginda, sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini.

Mahkamah Tinggi sebelum ini menolak saman baginda terhadap Rewcastle-Brown, Chong Ton Sin dan Vinlin Press Sdn Bhd selaku responden berhubung dakwaan fitnah dalam sebuah buku bertajuk ‘The Sarawak Report-The inside 1MDB Expose’.

Baginda mendakwa kenyataan dalam buku itu antara lain bermaksud baginda terbabit rasuah dan campur tangan dalam pentadbiran kerajaan Terengganu.

Sultanah Nur Zahirah dikatakan menggunakan statusnya untuk mempengaruhi penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) yang kemudian dikenali sebagai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Kata baginda, kenyataan itu bermakna baginda membantu ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low menjadi penasihat TIA.

Sultanah Nur Zahirah menuntut ganti rugi am sebanyak RM100 juta daripada setiap responden dan perintah supaya penerbit menarik balik buku yang mengandungi kenyataan fitnah serta pencetak berhenti mencetak buku berkenaan. – MalaysiaGazette