Pengawai penguat kuasa KPDN Melaka merampas 250 peket minyak masak bersubsidi dan gula yang yang disorokkan di tangga dan stor sebuah restoran mamak di Alor Gajah, Melaka, hari ini.

ALOR GAJAH – Sebuah restoran mamak di Pusat Perniagaan Jelatang di sini dikesan menyorokkan lebih 550 kilogram (kg) barangan bersubsidi gula pasir dan minyak masak peket.

Tindakan itu berjaya dibongkar selepas diserbu sepasukan pegawai dan anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka kira-kira 1 petang tadi.

Pengarahnya, Norena Jaafar berkata, serbuan dilakukan susulan menerima aduan daripada pengguna mengenai kegiatan sebuah restoran mamak yang dipercayai menyorok serta menggunakan barang kawalan.

“Hasil penyamaran dan risikan didapati premis ini menyorok barang kawalan lebih 300 kilogram gula pasir bersubsidi dan juga 250 minyak masak peket satu kilogram di tangga dan stor tingkat satu bangunan premis dua tingkat itu.

“Semakan mendapati premis gagal mengemukakan sebarang dokumen permit kebenaran menyimpan barang kawalan berjadual di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya ketika ditemui di lokasi di sini hari ini.

Norena menunjukkan sebahagian daripada gula pasir bersubsidi yang disorokkan di sebuah restoran mamak di Alor Gajah, Melaka hari ini.

Mengulas lanjut, Norena berkata, alasan diberikan pekerja restoran barangan itu digunakan untuk perniagaan juga adalah salah kerana barangan bersubsidi hanya untuk kegunaan isi rumah.

“Macam minyak masak yang dirampas ini, ia sebenarnya adalah hak subsidi yang boleh digunakan untuk 133 isi rumah dan bukannya bagi tujuan perniagaan.

“KPDN memberi amaran kepada semua peniaga yang menggunakan dan menyimpan barang kawalan berjadual bagi kegunaan perniagaan agar mendapatkan permit,” katanya.

Tambah Norena, Peraturan 18, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 telah mewajibkan mana-mana pihak bagi tujuan perdagangan yang membeli dan menyimpan minyak masak melebihi 12 kg perlu memiliki permit daripada KPDN.

Pemegang permit hanya boleh mendapatkan bekalan minyak masak tidak bersubsidi daripada pemborong berlesen yang sah. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast