KUALA LUMPUR – Platform dana awam patuh syariah rakan setara (P2P) yang pertama di dunia, Nusa Kapital menyasarkan suntikan modal kerja sebanyak RM60 juta dalam pelaburan penapisan logam di negara ini.
Ia akan membabitkan jalinan kerjasama dengan Alpha Nagara yang merupakan syarikat tunggal pengeluar penapisan logam yang memiliki kilang di Shah Alam dan Rakyat Trustee Berhad (RTB) sebagai pemegang amanah.
Ketua Pegawai Eksekutif Nusa Kapital, Mohd. Syakil Shahabudin berkata, sebagai sebuah syarikat yang dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, pihaknya menyifatkan kolaborasi strategik itu akan membantu melonjak perniagaan semua pihak dalam segmen masing-masing.
“Idea usahasama ini timbul selepas melihat kepada kedudukan unik semua pihak terutamanya di Alpha Nagara adalah satu-satunya pengeluar penapisan logam terkemuka negara.
“Kolaborasi strategik itu juga bakal menumpukan kepada penyelesaian kewangan lebih inovatif dan teguh di mana RTB pula menyokong penyelesaian secara digital dan bekerjasama dengan pelbagai agensi untuk meluaskan jangkauan produk dan perkhidmatan berkaitan warisan,” katanya pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) itu di sini semalam.
Turut hadir Pengarah Alphacapital (M) Berhad yang merupakan syarikat induk kepada Alpha Nagara, Syed Mahadzir Fadaak dan Pengarah Urusan RTB, Faudzi Md Din.
Sementara itu, Syed Mahadzir memberitahu, kepakaran Alpha Nagara tidak mampu ditandingi syarikat lain kerana kemampuannya memenuhi permintaan pengeluaran logam terutama jongkong emas 999.9.
Jelas beliau, ia telah memberi kelebihan dan kapasiti kepada syarikat itu dalam penghasilan jongkong emas dengan keunikannya tersendiri dikenali sebagai Fadaaq Gold.
“Dengan keunikan produk kam, Alpha Negara kini diiktiraf sebagai pemacu industri dan sekali gus dapat menarik minat pelanggannya yang mementingkan eksklusif, kualiti dan keaslian.
“Usahasama itu juga mengukuhkan lagi komitmen syarikat ke arah pembaharuan produk dengan etika amalan perniagaan yang dapat membentuk industri pengeluaran logam menerusi kolaborasinya bersama Nusa Kapital yang dipantau RTB,” katanya. – MalaysiaGazette