Pemain JDT, Muhammad Safawi Rasid (kiri) cuba melepasi pemain Kedah, Mohammad Fairuz Zakaria pada perlawanan Piala Sumbangsih di antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah Darul Aman FC sempena pembukaan Liga Malaysia 2021 di Stadium Sultan Ibrahim, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 05 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Dua pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Akhyar Rashid dan Safawi Rasid kini dikaitkan berhijrah ke Terengganu FC (TFC) pada musim depan.

Berita ini dikongsikan wartawan sukan, T. Avineshwaran yang melaporkan bahawa khidmat dua bintang negara ini sedang diperhatikan oleh skuad Peteh.

Finalis Piala Malaysia 2023 ini dkatakan mahu memantapkan jentera serangan dengan bahagian sayap menjadi keutamaan pasukan.

Ini kerana impian TFC untuk melangkah ke pusingan kalah mati Piala AFC juga tertangguh bagi tahun ini.

Akhyar dan Safawi dilihat menjadi prospek penting untuk membantu jentera sayap anak didik Tomislav Stienbruckner dengan beberapa pilihan tambahan seperti pemain import juga bakal menajamkan jentera serangan pasukan.

Berita ini bagaimanapun masih dalam status belum rasmi dengan tiada pengumuman daripada mana-mana pihak berkenaan perpindahan ini.

Pengalaman yang dimiliki oleh dua pemain ini dilihat penting untuk membantu pemain muda di TFC berkembang dengan lebih baik.

TFC sebelum ini berjaya mengekalkan khidmat beberapa ayam tambatan seperti Safwan Mazlan, Uabidulkah Shamsul, Syahmi Zamri dan juga Alif Zakaria. – MalaysiaGazette