Dr Dzulkefly Ahmad
Dr Dzulkefly Ahmad

KUALA LUMPUR – Skim Perubatan Madani merekodkan lebih satu juta lawatan pesakit bagi rawatan sakit-sakit ringan percuma di klinik swasta yang berdaftar sejak skim itu diperkenalkan pada 15 Jun lepas.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, sehingga semalam, sebanyak 1,005,645 rawatan sakit-sakit ringan telah diberikan kepada 785,623 pesakit melalui 2,506 klinik swasta dengan jumlah perbelanjaan keseluruhan sebanyak RM62.5 juta.

“Kerajaan telah menunjukkan komitmen yang berterusan terhadap skim ini dengan memberi peruntukan sebanyak RM100 juta dalam Belanjawan 2024 agar skim ini dapat diteruskan pada tahun hadapan.

“KKM dan ProtectHealth akan terus komited memantapkan gerak kerja dalam meningkatkan penglibatan klinik swasta di seluruh negara, bagi memperluas akses kumpulan berpendapatan rendah kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Skim Perubatan Madani merupakan satu inisiatif kerajaan melalui Kementerian Kesihatan (KKM) bagi menampung keperluan kesihatan golongan B40.

Skim itu ditawarkan secara automatik kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah dengan membantu menampung kos rawatan sakit-sakit ringan di klinik swasta yang berdekatan tanpa sebarang caj.

Semakan kelayakan dan carian klinik swasta boleh didapati melalui laman web ProtectHealth di www.protecthealth.com.my, aplikasi ‘Skim Perubatan Madani’ dan MySejahtera. – MalaysiaGazette