Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Polis sedang menyiasat insiden pergaduhan membabitkan pelajar dua sekolah menengah di Bandar Tasik Puteri, Rawang dekat sini petang semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak Superintenden Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata pihaknya menerima laporan pada 10.13 malam semalam daripada seorang pelajar berumur 14 tahun yang mendakwa dia dan rakannya dipukul dalam insiden itu.

Beliau berkata remaja itu mendakwa dia dan rakannya di kawasan Medan Puteri, Bandar Tasik Rawang pada 2.10 petang sebelum dipukul sehingga cedera oleh sekumpulan pelajar lelaki berumur 15 dan 16 tahun.

“Berikutan kejadian itu, remaja berkenaan mendapatkan rawatan di Hospital Selayang manakala rakannya menerima rawatan di Hospital KPJ di sini,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Noor Ariffin berkata siasatan awal mendapati pergaduhan itu membabitkan pelajar dua sekolah di kawasan berkenaan dan berpunca daripada perselisihan faham selain mereka saling mengenali.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan serta usaha mengesan pelajar terbabit sedang giat dilakukan dan individu yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-6126 2222 atau Pegawai Penyiasat kes Inspektor Amirul Ashyraf Abu Hassan di talian 019-349 1233. – BERNAMA