KUALA LUMPUR – Penghuni tujuh buah rumah di Jalan Wawasan, Pusat Bandar Puchong dekat sini diarahkan mengosongkan kediaman masing-masing sejurus insiden tanah runtuh di kawasan itu hari ini.
Insiden tanah runtuh itu berlaku sekitar pukul 7.30 malam tadi akibat hujan lebat tidak berhenti sejak petang tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, penghuni tujuh rumah di situ diarahkan mengosongkan kediaman masing-masing sebagai langkah berjaga-jaga kerana masih ada pergerakan tanah di kawasan yang sama.
“Sepasukan enam anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Puchong ke lokasi sebaik menerima laporan,” katanya dalam kenyataan.
Beberapa gambar yang turut dikongsi netizen terutamanya penduduk kawasan kejadian menunjukan rekahan pada jalan raya akibat kesan tanah runtuh.
Ada kereta yang di parkir di luar rumah juga dilihat terbenam dalam runtuhan.
Setakat malam ini, bomba masih lagi sedang memantau kawasan terbabit dan bersiap sedia sekiranya berlaku insiden tidak diingini. – MalaysiaGazette