KUALA LUMPUR – Sebanyak 102 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan pada Operasi Motorsikal yang dilakukan di sekitar kawasan Jalan Tasik Permai, Ampang dan di laluan lorong motorsikal Lebuhraya Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) pada malam tadi.

Antaranya adalah tiada lesen memandu yang sah, kesalahan nombor pendaftaran, ubah suai struktur kenderaan seperti ekzos, tidak patuh pada tunjuk arah dan brek tidak berfungsi dengan baik.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, hasil dari kedua-dua operasi itu sebanyak 19 buah motosikal telah ditahan dan dibawa balik ke Balai Polis Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya untuk proses dokumentasi dan proses panggil pemilik.

“Kesemua kenderaan tersebut disita di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalanraya 1987 dan Seksyen 6(4) akta yang sama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Mohd Azam, operasi yang dijalankan itu bertujuan bagi mengesan dan mengambil tindakan terhadap pengguna jalan raya yang tidak mematuhi peraturan lalu lintas terutamanya motorsikal yang ditunggang oleh warga negara asing.

Selain itu, tambah beliau, operasi tersebut juga menumpukan perhatian kepada golongan remaja yang sering dilihat melakukan pengubahsuaian pada struktur kenderaan yang digunakan. – MalaysiaGazette