Ramanan
Para pelajar meraikan ketibaan R Ramanan pada majlis perasmian penutup program Seminar Serambi SPM 2023 di MAHSA Avenue, Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Semua pihak perlu memberi kepercayaan kepada kebijaksanaan dan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam rombakan Kabinet yang diputuskan beliau, baru-baru ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk R Ramanan berkata, beliau tidak mempunyai sebarang komen peribadi mengenai dakwaan kononnya kaum India kurang diwakili dalam Kabinet baharu Kerajaan Perpaduan.

“Bagi saya, persoalan itu bukan untuk saya buat keputusan, saya bukan Perdana Menteri.

“Saya tidak ada komen peribadi mengenai isu itu,” katanya ketika diminta mengulas dakwaan tersebut dalam sidang media selepas merasmikan majlis penutup Seminar Serambi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 di MAHSA Avenue di sini, hari ini.

Program anjuran Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) itu disertai seramai 750 pelajar yang bakal menduduki SPM awal tahun depan.

Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh memberitahu, tumpuannya ketika ini adalah untuk melaksanakan tugas-tugasnya di kementerian dan Mitra.

“Tumpuan utama saya adalah membangunkan masyarakat India dan berkhidmat untuk semua rakyat,” jelasnya.

Berhubung jawatannya sebagai Pengerusi Mitra, beliau berkata, jawatan itu akan terus disandang sehingga Perdana Menteri membuat keputusan sebaliknya.

“Kita tunggu pengumuman PM nanti,” katanya.

Ramanan juga berharap penganjuran program seperti Seminar Serambi SPM dapat diperluaskan lagi bagi memberi manfaat kepada pelajar-pelajar yang bakal menduduki peperiksaan tersebut. – MalaysiaGazette