Fadzli Mohamad Kamal (tengah) menunjukkan Durian Musang King Raub yang mencecah harga bidaan sebanyak RM185,000.

KUANTAN – Siapa sangka durian Musang King dari Raub mencatatkan harga termahal di dunia?

Exco Komunikasi Dan Multimedia, Belia, Sukan Dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata, harga yang direkodkan dalam bidaan ialah RM185,000.

Jelas beliau, hasil bidaan durian itu kemudiannya disumbangkan kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Ruan di Raub dekat sini bagi tujuan penambahbaikan infrastruktur sekolah berkenaan.

“Saya menyaksikan bidaan durian Musang King dari Raub yang termahal di dunia iaitu bernilai RM185,000 sebiji. Harga permulaan bidaan ini adalah RM2,000 sebiji yang kemudian meningkat beberapa kali sehinggalah mencecah RM185,000 sebiji. Pemenangnya ialah Huang Qi Wen.

”Manakala bidaan tertinggi untuk durian Duri Hitam (Black Thorn) adalah bernilai RM15,000 sebiji,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sementara itu, Fadzli berkata, seorang penyumbang, Datuk Lye We Ken menyumbang sebanyak RM204,444 melalui program bidaan yang berlangsung di SMK Sungai Ruan, Raub pada malam tadi.

Ahi Dewan Undangan Negeri Dong itu berkata, secara keseluruhan, sebanyak RM404,444.00 berjaya dikutip untuk bidaan sebiji Musang King dan sebiji Duri Hitam. – MalaysiaGazette