KUALA LUMPUR – Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) akan bekerjasama dengan Gabungan Persatuan Perfileman Malaysia (GAFEMA) untuk mewujudkan peluang pekerjaan kepada penggiat industri seni.

Pengerusinya, Datuk Kamil Othman berkata, pihaknya akan mengenal pasti permintaan produk perfileman di pasaran sebelum peluang pekerjaan itu boleh ditawarkan kepada penggiat industri seni.

“Pihak kami sedang mengkaji kenapa kebanyakan orang (penggiat industri seni) dalam kesusahan, sebab tiada kerja.

“Finas akan tengok permintaan (pengguna) dan penawaran. Kalau permintaan itu ada, jadi keperluan nak pakai kepakaran itu semua ada.

“Kalau RTM perlu 50,000 jam program, itu bermakna banyak syarikat akan terlibat untuk membikin (filem),” katanya kepada pemberita di Pawagam Mini P. Ramlee, Kompleks Studio Merdeka FINAS hari ini.

Terdahulu Kamil merasmikan Program Sumbangan Bantuan Industri Kreatif kepada Jawatankuasa Hal Ehwal Industri, Kebajikan dan Data Industri Finas.

Dalam pada itu, katanya, FINAS melalui jawatankuasanya yang dipengerusikan Rozaidi Abdul Jamil akan mendaftarkan data penggiat industri seni untuk memudahkan padanan pekerjaan dan bantuan.

“Sebab itu pendaftaran itu penting. Jadi kerjasama Finas dengan Gapena, kita ada data daripada 11 persatuan. Kalau kita nak buat apa-apa permintaan untuk industri kita ini permintaan datang apabila banyak filem dibuat.

“Bila banyak filem dibuat, itu adalah kerana filem dibuat mesti ada penontonnya.

“Kita kena kaji pembikinan filem, stail penonton pun kita tengah kaji sekarang, kenapa filem macam ini laku, filem macam ini tak laku, drama televisyen,” katanya.

Selain padanan kerja, FINAS juga akan menaikkan taraf kemahiran penggiat industri seni agar mudah untuk memenuhi permintaan pasaran.

“FINAS akan menaikkan taraf kemahiran, kalau sekarang dia hanya jurukamera kecil, macam nak bawa kursus bagi naik taraf lagi.

“Kita bukan nak biarkan penggiat seni begitu sahaja,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast