Md Daud Kilau berusia 85 tahun,

KUALA LUMPUR – Bintang seni tanah air, Datuk M Daud Kilau dilaporkan meninggal dunia di Hospital Teluk Intan, Perak petang ini.

Penyanyi berusia 85 tahun itu sebelum ini dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dan pernah beberapa kali dimasukkan ke hospital selepas mengalami sesak nafas.

Sepanjang rawatan, beliau dalam pemantauan rapi doktor dan terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan.

Penyanyi yang mendapat julukan Raja Gelek Malaysia itu berdepan masalah kesihatan sejak enam tahun lalu dan pernah menjalani prosedur pembedahan angioplasty di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur dua tahun lepas.

Tahun lalu, ketika ditemui pemberita, pelantun lagu popular Cek Mek Molek itu menyatakan hasrat masih mahu terus menghiburkan peminat, namun terpaksa dilupakan berikutan keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan.

Kali terakhir beliau beraksi di pentas adalah sekitar tujuh tahun lalu dan selepas itu tidak lagi aktif biarpun masih menerima jemputan untuk membuat persembahan.

Allahyarham M Daud yang dilahirkan di Bagan Datoh, Perak aktif dalam bidang seni selepas menjuarai Bintang Radio di Singapura pada 1968 mendendangkan lagu Musalmah Manis dan Joget Hitam Manis.

Arwah kemudian ditawarkan menjadi artis rakaman hingga menghasilkan banyak EP dan LP yang memuatkan lagu bergenre langgam, asli dan dangdut.

Pada 1985, M Daud menjuarai pertandingan Pesta Dendang Rakyat kategori nyanyian asli.

Aksi Allahyarham bergelek selain kecenderungan melaram di pentas sambil menukar persalinan secara spontan, mengumpan peminat sejak era 1980-an.

Selain Cek Mek Molek dan Sirih Pinang, M Daud popular dengan lagu Anak Derhaka, Gila Judi dan Pening yang dirakam bersama Ezlynn pada 2003.  – MalaysiaGazette