BUTTERWORTH – Seorang ustaz mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas lima pertuduhan amang seksual fizikal terhadap lima pelajar di sebuah pusat tahfiz antara September 2022 hingga Jun lalu.

Tertuduh yang berusia 29 tahun membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan secara berasingan dihadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang sudah berumahtangga itu didakwa melakukan amang seksual terhadap seorang pelajar lelaki yang ketika itu berusia 13 tahun pada jam 3 pagi, Jun lalu di sebuah rumah sewa di Tasek Gelugor di sini.

Bagi pertuduhan kedua hingga kelima, tertuduh didakwa melakukan perkara sama terhadap empat lagi pelajar lelaki ketika itu berusia 14 tahun antara Januari hingga September 2022 di asrama tingkat bawah pusat tahfiz di Padang Menora, Tasek Gelugor.

Tertuduh dibenarkan ikat jamin RM20,000 bagi lima pertuduhan.

Tertuduh didakwa memeluk badan, memegang serta menyentuh kemaluan pelajar berkenaan  ketika mempunyai hubungan amanah sebagai ustaz.

Bagi kesemua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang dibaca bersama Seksyen 16 (1) akta sama dengan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan.

Manakala hukuman bagi Seksyen 16 akta berkenaan tertuduh boleh dipenjara lima tahun dan boleh dikenakan sebatan tidak kurang dua kali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Imran Farouk.

Ketika prosiding Wan Amira Ruzaini memohon mahkamah tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh namun dalam rayuan Mohd Imran meminta mahkamah memberikan ikat jamin atas alasan anak guamnya perlu menyara keluarga.

Zulhazmi kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin selain menetapkan syarat tambahan tertuduh tidak boleh mendekati atau mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan.

Kes disebut semula pada 17 Januari depan untuk serahan dokumen.

Keluarga tertuduh membayar keseluruhan jaminan yang berjumlah RM20,000 itu. – MalaysiaGazette