Tuan Zainal Abas (dua dari kiri) bersama Mariam Bevi Batcha (tengah) dan wakil-wakil dari Maxis.

KUALA LUMPUR – Dalam usaha kolaboratif memperluaskan akses pembelajaran digital, program komuniti utama Maxis, eKelas kini dapat diakses melalui portal DELIMa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Pengarah Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan KPM,  Tuan Zainal Abas berkata, DELIMa atau Inisiatif Pembelajaran Pendidikan Digital Malaysia adalah platform pembelajaran dalam talian KPM yang menumpukan pengajaran dan pembelajaran digital dalam kalangan guru, pelajar dan penjaga dalam sistem persekolahan awam Malaysia.

Kerjasama tersebut adalah selaras dengan Dasar Pendidikan Digital Kebangsaan baharu di mana pihak KPM melibatkan rakan strategik sebagai pemangkin pendidikan digital serta berkongsi visi yang sama iaitu untuk memupuk pelajar yang fasih digital.

“Dengan integrasi baharu ini, para pelajar Malaysia dari sekolah rendah hingga menengah, guru dan pemimpin pendidikan kini boleh log masuk ke eKelas dengan menggunakan ID DELIMa mereka dan secara mudah mengakses kandungan pembelajaran percuma eKelas termasuk bengkel dalam talian, klinik peperiksaan dan webinar.

“Pelajar-pelajar juga berpeluang menyertai pertandingan bercerita dalam Bahasa Inggeris dan STEM eKelas peringkat kebangsaan untuk mendapatkan mata Pentaksiran Aktiviti Jasmani Sukan Dan Kokurikulum (PAJSK), serta peluang untuk memohon geran pelajar Anugerah Gemilang eKelas,” katanya dalam satu kenyataan.

Tuan Zainal berkata, eKelas turut menumpukan kepada mata pelajaran Sains, Matematik, Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu dan Sejarah serta topik digital dan kemahiran insaniah.

Pelajar eKelas didedahkan kepada pembelajaran berasaskan pengalaman melalui kombinasi tutorial langsung, pembelajaran berkumpulan, pertandingan dan kandungan digital melalui portal dan aplikasi eKelas.

Sementara itu, Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat Maxis, Mariam Bevi Batcha berkata, kemudahan log masuk tunggal melalui DELIMa membolehkan pihaknya merapatkan eKelas dengan komuniti dan mencapai lebih ramai pelajar di seluruh negara.

“Dengan lebih daripada 95,000 pengguna berdaftar di portalnya dan semakin bertambah, eKelas ialah satu inisiatif pembelajaran digital selepas sekolah untuk pelajar dari Darjah 4 hingga Tingkatan 5.

“eKelas memperkayakan pembelajaran dengan kaedah yang meriah dan menyeronokkan serta menyediakan akses kepada kandungan pendidikan yang berkualiti selaras dengan Sukatan Pelajaran Sekolah Malaysia,” ujarnya.

Tambah beliau, komitmen berterusan Maxis untuk memperkasakan lebih ramai pelajar memanfaatkan kelebihan pembelajaran digital dan pihaknya teruja kerana dapat menjadikan eKelas sebahagian daripada perjalanan pendidikan mereka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast