Hendrawan

KUALA LUMPUR – Akademi Badminton Malaysia (ABM) menggugurkan tiga pemain perseorangan lelaki akademi itu iaitu Lee Shun Yang, Chia Jeng Hon dan Rex Hooi Shao Heng.

Jurulatih perseorangan lelaki negara Hendrawan berkata keputusan itu bersandarkan penilaian prestasi atlet terbabit ketika beraksi pada kejohanan antarabangsa dan semasa menjalani sesi latihan.

“Ini kali pertama saya rasakan pengguguran paling sukar, kebiasaannya kita hanya gugurkan satu dua sahaja.

“Penilaian prestasi mereka dinilai dalam kejohanan serta turut berdasarkan data,” katanya pada sidang media penilaian pemain kebangsaan di ABM, Bukit Kiara di sini hari ini.

Hendrawan berkata Shun Yang bagaimanapun dibenarkan untuk kekal berlatih di akademi itu selain turut ditawarkan sebagai rakan sepelatih (sparring) kepada pemain sedia ada.

Jurulatih berusia 51 tahun itu, dalam masa sama memaklumkan ABM turut mengambil pendekatan membahagikan pemain sedia ada kepada dua kumpulan iaitu Kumpulan A dan B.

Kumpulan A terdiri daripada Ng Tze Yong, Aidil Sholeh Ali Sadikin, Leong Jun Hao, Justin Hoh dan Eogene Ewe manakala Kumpulan B melibatkan Shaqeem Eiman Shahyar, Chua Kim Sheng, Ong Ken Yon, Ong Zhen Yi dan Jacky Kok.

Beliau berkata Kumpulan A akan menyertai 12 hingga 14 kejohanan antarabangsa setahun, sementara Kumpulan B dikurangkan penyertaan sekitar empat hingga enam kejohanan sahaja.

“Mereka masih boleh memperbaiki kedudukan mereka untuk dimasukkan dalam Kumpulan A, dengan syarat mereka menunjukkan keputusan yang bagus apabila kita menghantar mereka menyertai kejohanan luar,” katanya. – BERNAMA