KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) peruntuk sebanyak RM2.66 bilion bagi Belanjawan 2024 yang bertemakan Aspirasi Madani, Bandar Raya Lestari.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Kamarulzaman Mat Salleh berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM2.01 bilion atau 75.6 peratus untuk mengurus dan RM650 juta (24.4 peratus) bagi pembangunan ibu kota.
“Secara keseluruhannya, belanjawan tersebut terdapat peningkatan sebanyak 2.13 peratus berbanding Belanjawan tahun 2023 yang memperuntukkan sebanyak RM2.6 bilion.
“Kita terpaksa buat penambahan sedikit peruntukan kerana kos perbelanjaan semakin tinggi terutama pembangunan seperti pembinaan jambatan dan baiki bangunan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media pembentangan Belanjawan DBKL 2024 yang julung kali di ibu negara hari ini.
Menerusi belanjawan itu, DBKL menyediakan peruntukan mengikut 11 program keutamaan untuk merealisasikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya sejahtera untuk semua.
Ia merangkumi antaranya jalan raya dan saliran berjumlah RM317 juta, pengurusan dan pentadbiran (RM418 juta), perumahan awam dan rakyat (RM228 juta) serta pembersihan bandar (RM220 juta).
Tambah Kamarulzaman, bagi mempromosikan produk pelancongan Kuala Lumpur, sebanyak RM21.63 juta diperuntukkan selaras dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
Sementara itu, bagi memastikan Perumahan Awam dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) seliaan DBKL lebih selesa, beliau berkata, belanjawan itu turut memperuntukkan sejumlah RM228.1 juta.
DBKL juga akan meneruskan pembinaan enam lagi Council Home iaitu di Jalan Selimang/ Jalan Siakap, Taman Desa (1), Taman Desa (2), Sungai Besi, Tasik Permaisuri dan Kuaters DBKL Sentul dengan peruntukkan pembangunan adalah sebanyak RM125 juta.
Selain itu, DBKL juga menyediakan RM82.3 juta untuk pengurusan penjaja dan peniaga kecil bagi menaiktaraf fasiliti gerai-gerai sekitar ibu kota kepada fasiliti yang lebih kondusif dan selesa.
Bagi mempertingkatkan sistem saliran dan perparitan, projek mitigasi banjir dan tebatan banjir di sekitar ibu negara, Kamarulzaman berkata, belanjawan itu menyediakan sebanyak RM170.5 juta.
Beliau juga memaklumkan DBKL kini mengambil pendekatan baharu untuk mengimbangi belanjawan defisit 2024 yang berjumlah RM275.9 juta melalui penjanaan hasil baharu.
“Salah satu daripadanya adalah dengan mengenakan cas RM1 bagi setiap perjalanan menggunakan bas GOKL kepada pengguna bukan warganegara Malaysia bermula 1 Januari 2024.
“DBKL turut memperkasakan kaedah mengutip tunggakan hasil seperti pembayaran ansuran tunggakan cukai taksiran melalui kad kredit tanpa faedah, pelaksanaan task force kutipan tunggakan sepanjang tahun dan penguatkuasaan,” jelasnya. – MalaysiaGazette