Siti Jamumall kini dirawat di hospital swasta di Shah Alam, Selangor.

KUALA LUMPUR – Personaliti media sosial, Siti Jamumall mengalami detik cemas selepas terlibat dalam kemalangan apabila motosikal yang ditunggangnya hilang kawalan dan merempuh pembahagi jalan di Setia Alam, Selangor malam kelmarin.

Siti Jamumall, 24, atau nama sebenar Siti Suriani Wahiddin mendakwa akibatnya dia terbaring selama dua jam selepas sebuah pusat perubatan swasta tidak mahu menerima kesnya.

Bagaimana ibu tunggal kepada dua cahaya mata itu berterima kasih kepada ambulans daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menghantarkan bantuan.

“Allah masih sayangkan saya. Sejujurnya, saya kesal apa yang berlaku. Tidak sepatutnya pihak berkenaan membiarkan pesakit yang dalam keadaan kecemasan. Saya pun tidak tahu kategori sakit macam mana yang mereka boleh terima.

“Apa pun, terima kasih kepada ambulans KKM yang sudi membantu dan bawa saya ke hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan segera,” katanya dalam satu rakaman video di media.

Menurut Siti Jamu, dia dipindahkan ke sebuah pusat perubatan lain bagi mendapatkan rawatan lanjut.

“Syukur perkhidmatan di sini sangat laju. Selepas jumpa doktor dan buat ujian imbasan x-ray, saya dimaklumkan patah jari dan luka-luka biasa.

“Terima kasih sekali lagi kepada semua yang mendoakan, menghantar mesej dan datang melawat,” katanya.

Sementara itu, menurut abangnya iaitu Nizam atau Mohd Khairul Nizam Wahiddin, 34, kemalangan itu dipercayai berpunca kegagalan sistem brek pada motosikal berkenaan.

Kata Nizam, Siti yang menunggang sendirian meminjam motosikal daripada pembantu peribadinya disebabkan kereta miliknya ditenggelami air banjir baru-baru ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast